suria

JKJR: Lesen Syarikat Sani Ekspress Digantung - Suret

PETALING JAYA: Ketua Pengarah abatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Datuk Suret Singh berkata lesen syarikat bus Sani Ekspress yang terlibat dengan kemalangan maut awal pagi tadi akan digantung sementara waktu bagi membolehkan siasatan menyeluruh berhubung punca kemalangan tersebut dikenalpasti.

"Ini bukan kali pertama kemalangan melibatkan bus dua tingkat. Kita akan gantung lesen mereka sementara waktu sehingga punca kemalangan itu dapat dikenalpasti oleh Lembaga Perlesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP),” katanya ketika dihubungi mStar Online dan The Star hari ini.

Menurut Suret, penggantungan lesen syarikat bas tersebut adalah prosedur biasa yang dikenakan terhadap kenderaan awam yang terlibat dengan kemalangan maut.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas kemalangan ngeri yang berlaku di KM272.8, Projek Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah utara, kira-kira lapan kilometer selepas Plaza Tol Ipoh Selatan, awal pagi tadi.

Dalam kemalangan itu, sepuluh penumpang maut manakala dua lagi cedera dengan seorang daripadanya parah apabila bas dua tingkat Sani Express terbabas dan melanggar pembahagi jalan.

Sementara itu, Suret yang juga Pengerusi Keselamatan Jalan Raya Asean berkata, spesifikasi bus dua tingkat yang digunakan oleh syarikat pengangkutan awam di negara ini bukanlah faktor penyumbang kepada kemalangan tersebut.

"Berdasarkan kajian yang telah dijalankan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros) sebelum ini kita dapati spesifikasi bus dua tingkat di negara ini bukan faktor yang menyumbang kepada kemalangan.

“Ini kerana kita menggunakan spesifikasi bas dua tingkat yang standard di mana ia turut digunakan di Eropah,” katanya.

Jelasnya, punca kemalangan mungkin disebabkan oleh sikap pemandu bas itu sendiri.

"Sikap pemandu bas menjadi faktor penyumbang utama setiap kali berlakunnya kemalangan maut.

"Mereka (pemandu bas ekspress) ini tidak mematuhi spesifikasi pemanduan yang telah ditetapkan oleh LPKP iaitu 8 jam bagi setiap perjalanan," katanya.

Bagaimanapun Suret berkata, statistik kemalangan yang melibatkan bas dua tingkat yang berlaku pada tahun ini mencatatkan sedikit penurunan berbanding tahun 2008.

"Jika dilihat pada kadar kemalangan melibatkan bas dua tingkat pada tahun 2007 dan 2008, berlaku penurunan yang ketara pada tahun ini iaitu sekitar 40 peratus.

"Kemalangan maut boleh dikurangkan sekiranya semua pihak mengambil sikap sambil lewa dalam hal ini. ," katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain