suria

JKJR Cadang Operasi Bas Sani Express Digantung Sementara

PETALING JAYA: Jabatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR) mencadangkan supaya Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) menggantung operasi semua bas milik syarikat Sani Express sementara menunggu siasatan selesai.

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat berkata, jabatan itu juga mengesyorkan penubuhan satu badan siasatan yang diketuai Pengerusi LPKP, Datuk Halimah Mohd Sadique.

Katanya, tindakan itu selaras dengan prosedur-prosedur standard apabila kemalangan jalan raya besar berlaku.

"Memandangkan keselamatan jalan raya terletak di bawah pelbagai agensi, kementerian akan bekerjasama dengan lain-lain kementerian dan jabatan berkaitan untuk menyiasat kemalangan maut yang berlaku pagi ini.

"Lebih penting lagi, kerjasama merentasi agensi-angensi ini akan terus berusaha mencari penyelesaian mengurangkan kadar kemalangan jalan raya di negara ini," katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan oleh pejabatnya yang disiarkan dalam blog www.ongteekeat.net di sini semalam.

Beliau yang kini berada di Hanoi, Vietnam berkata demikian sebagai mengulas kemalangan maut bas dua tingkat Sani Express yang terbabas di KM272.8, Projek Lebuh Raya Utara-Selatan (PLUS) arah utara, kira-kira lapan kilometer selepas Plaza Tol Ipoh Selatan, sehingga membunuh 10 penumpang dan dua lain cedera dengan seorang daripadanya parah pukul 1 pagi ini.

Sementara itu Ketua Pengarah abatan Keselamatan Jalan Raya (JKJR), Datuk Suret Singh berkata, penganntungan sementara itu merupakan prosedur biasa setiap kali kemalangan maut berlaku.

"Ini bukan kali pertama kemalangan melibatkan bus dua tingkat. Kita akan gantung lesen mereka sementara waktu sehingga punca kemalangan itu dapat dikenal pasti," jelasnya kepada mStar Online hari ini.

Beliau yang juga Pengerusi Keselamatan Jalan Raya Asean berkata, spesifikasi bas dua tingkat yang digunakan oleh syarikat pengangkutan awam di negara ini bukan faktor penyumbang kepada kemalangan tersebut.

"Berdasarkan kajian yang telah dijalankan oleh Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros) sebelum ini kita dapati spesifikasi bas dua tingkat di negara ini bukan faktor yang menyumbang kepada kemalangan.

“Ini kerana kita menggunakan spesifikasi bas dua tingkat yang standard di mana ia turut digunakan di Eropah,” katanya.

Jelasnya, punca kemalangan mungkin disebabkan oleh sikap cuai pemandu bas itu sendiri.

"Sikap pemandu bas menjadi faktor penyumbang utama setiap kali berlakunya kemalangan maut.

"Mereka (pemandu bas ekspress) ini tidak mematuhi spesifikasi pemanduan yang telah ditetapkan oleh LPKP iaitu 8 jam bagi setiap perjalanan," katanya.

Bagaimanapun Suret berkata, statistik kemalangan yang melibatkan bas dua tingkat yang berlaku pada tahun ini mencatatkan sedikit penurunan berbanding tahun 2008.

"Jika dilihat pada kadar kemalangan melibatkan bas dua tingkat pada tahun 2007 dan 2008, berlaku penurunan yang ketara pada tahun ini iaitu sekitar 40 peratus.

"Kemalangan maut boleh dikurangkan sekiranya semua pihak mengambil sikap sambil lewa dalam hal ini," katanya.

Artikel Berikut

Artikel Lain