suria

Tiga Lelaki Cedera Parah Dalam Kejadian Amuk

KOTA KINABALU: Tiga lelaki cedera parah termasuk seorang daripadanya putus kaki dalam kejadian amuk di sebuah rumah di Kampung Sembulan Baru di sini, semalam.

Timbalan Ketua Polis Bandaraya, Supritendan Rowell Marung berkata, kejadian bermula apabila beberapa lelaki tiba di rumah itu kira-kira 9.30 malam dengan dua buah kereta.

Menurutnya, salah seorang daripada mereka kemudiannya keluar daripada kereta itu lalu menghampiri rumah berkenaan sambil memegang sebilah parang panjang.

"Mangsa pertama dilaporkan keluar dari rumah itu sejurus selepas menerima satu panggilan telefon tetapi telah ditetak di tangannya oleh lelaki yang berparang tersebut.

"Dia (mangsa) masuk semula ke dalam rumah meminta pertolongan sepupunya yang kemudian turut diserang dan ditetak sehingga kaki kanannya putus," katanya.

Rowell berkata, polis peronda yang kebetulan melakukan rondaan di kawasan itu dan melihat kejadian itu terpaksa melepaskan beberapa das tembakan ke arah lelaki berparang itu yang kemudiaannya cuba menyerang polis. Lelaki itu cedera pada kaki dan dadanya.

"Suspek cuba melarikan diri tetapi berjaya ditangkap oleh anggota polis dengan bantuan penduduk kampung. Ketiga-tiga orang yang cedera itu dihantar ke Pusat Perubatan Sabah untuk mendapatkan rawatan," katanya.

Beliau berkata, polis sedang menyiasat kejadian itu dan tidak menolak kemungkinan ia bermotifkan balas dendam. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain