suria

Pembantu Rumah Lari ikut Teman Lelaki, Tinggal Anak Majikan

KUANTAN: Seorang pembantu rumah sanggup meninggalkan seorang bayi perempuan majikannya di dalam rumah keluarga itu yang berkunci di Taman Rasau Perdana di sini Isnin lepas kerana dipercayai lari mengikut teman lelakinya.

Mangsa, Nor Sharmila Sofian, 10 bulan, ditinggalkan seorang diri di atas katil bayi dalam rumah tersebut selama tempoh bapanya keluar berniaga iaitu dari jam 8.30 pagi hingga 6 petang pada hari berkenaan.

Bapa mangsa, Sofian Abd Rahman, 32, berkata, pembantu rumah yang dikenali sebagai Seri yang berasal dari Jawa Timur, Indonesia itu turut melarikan wang tunai miliknya RM3,000 selain barang kemas isterinya bernilai RM15,000.

"Ketika pulang ke rumah, saya mendapati pintu rumah tertutup dan berkunci lalu memanggil pembantu rumah beberapa kali namun tidak berjawab," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurutnya, dia memanjat melalui bumbung rumah untuk mendapatkan kunci simpanan dan melihat anaknya dalam keadaan lesu di atas katil bayi.

Sofian berkata, dia mengesyaki pembantu rumah yang telah berkhidmat dengan keluarganya hampir setahun itu mengikuti seorang teman lelaki yang baru dikenalinya berdasarkan khidmat pesanan ringkas (SMS) di dalam telefon bimbit wanita berusia 38 tahun terbabit beberapa hari sebelum kejadian.

"Saya tidak nampak sesuatu yang mencurigakan terhadapnya malah dia seorang yang mendengar kata dan kami turut membawanya bersama setiap kali pergi bercuti. Sehari sebelum kejadian, saya juga membawanya ke Kemaman untuk bercuti," katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Kuantan, Supritendan Zulkifli Taha mengesahkan menerima laporan berkaitan kes tersebut dan berkata, siasatan kini giat dijalankan untuk mengesan suspek. - BERNAMA

Artikel Lain