suria

Pemberian Lesen Pada Warga Emas, Orang Asli Akan Ditapis

KUALA LUMPUR: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) membuat tapisan secara terperinci sebelum memberikan lesen motosikal kepada warga emas dan Orang Asli di bawah program '1Komuniti, 1JPJ'.

Ketua Unit Operasi JPJ Wilayah Persekutuan, Syed Abdullah Syed Husain berkata, sebelum diberikan lesen, kesemua mereka perlu menjalani pelbagai ceramah dan latihan khas untuk memahami aspek pemanduan berhemah.

"Kita bekerjasama dengan institusi memandu untuk memberi latihan dan seterusnya memilih mereka yang layak untuk mendapatkan lesen ini," katanya.

Beliau yang ditemui pemberita sempena Program Ikhtiar Hidup Penunggang Motorsikal di sini hari menolak andaian sesetengah pihak bahawa dengan pemberian lesen itu terutamanya kepada warga emas akan mendedahkan mereka kepada kemalangan jalan raya berdasarkan faktor umur.

"Kebanyakan mereka yang menerima lesen itu adalah di kalangan mereka yang sudah lama menunggang motosikal tetapi tidak ada lesen.

"Kebanyakannya bawa motor hanya untuk ke surau, kedai dekat-dekat rumah. Kalau kita tidak bagi pun mereka akan bawa juga, jadi kita bagi mereka lesen," katanya.

Di bawah program '1Komuniti, 1JPJ', jabatan itu menjejak generasi warga emas dan Orang Asli berusia 45 tahun ke atas untuk diberi lesen motorsikal supaya menunggang dalam keadaan lebih berhemah. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain