suria

Kerajaan Kaji Jumlah, Kaedah Pemberian Wang Ihsan Kepada Kelantan

KOTA BAHARU: Kerajaan pusat belum dapat menentukan jumlah dan kaedah bagaimana pengagihan wang ihsan kepada kerajaan Kelantan sehingga jumlah bahan pengeluaran hasil petroleum di negeri ini ditentukan oleh Petronas.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed berkata yang pastinya jumlah pemberian wang ihsan itu mungkin tidak sama dengan apa yang diperolehi kerajaan Terengganu, Sabah dan Sarawak.

Ini kerana, katanya separuh daripada hasil petroleum negara adalah dari tiga negeri itu.

"Sehingga ini, kerajaan belum dapat menentukan anggaran peruntukan wang ihsan yang akan diterima Kelantan," katanya kepada pemberita selepas berucap di majlis perhimpunan kakitangan perkhidmatan Persekutuan di Pusat Teknologi Pendidikan, Pengkalan Chepa, di sini, hari ini.

Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan itu berkata walaupun pelbagai andaian dibuat mengenai wang ihsan dan tuntutan royalti minyak dan gas di Kelantan, namun jumlah sebenar dan kaedah pemberian pengeluaran hasil petroleum itu hanya akan ditentukan selepas kajian selesai dibuat oleh Petronas.

Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak pada 4 November lepas mengumumkan kerajaan pusat akan memberikan wang ihsan kepada kerajaan negeri Kelantan sebagai menggantikan royalti mulai tahun depan.

Bagaimanapun, Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, mahu kerajaan pusat tetap memenuhi tuntutan royalti itu dan mungkin mencabar di mahkamah jika kerajaan pusat enggan berbuat demikian.

"Yang pasti angkanya tidak besar sangat, tidak macam Terengganu, Sabah dan Sarawak, kerana Kelantan tidak layak medapat royalti itu, kerana kawasan cari gali minyak itu terletak di kawasan bertindih MTJDA antara Malaysia-Thailand di mana hasilnya dikongsi bersama 50-50," jelas Mustapa mengulas isu itu.

Mengenai kesediaan bekas Menteri Kewangan, Tengku Razaleigh Hamzah untuk bekerjasama dengan kerajaan negeri dalam tuntutan royalti itu, beliau berpendapat semua pihak berhak memberi pandangan.

"Pendirian kerajaan pusat adalah berdasarkan penelitian pihak Petronas. Ini kerana mengikut undang-undang kerajaan Malaysia, yang layak menerima royalti ialah hasil yang diperolehi di kawasan tiga batu nautika ke laut. Itulah pendirian kerajaan tertakluk kepada undang-undang kerajaan Malaysia dan kita ada cara untuk menangani masalah itu," katanya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan Umno Kelantan Datuk Dr Awang Adek Hussin berkata tindakan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membentangkan rang undang-undang persendirian yang disenaraikan mengenai isu royalti itu menunjukkan pihak pembangkang tidak yakin dengan tuntutan royalti itu akan memihak kepada mereka mengikut Akta Petronas 1974.

"Jadi yang menariknya (kita) harus menerima hakikat bahawa sebenarnya Kelantan mengikut undang-undang ini tidak layak menerima royalti ini, sebab itu dia nak bentangkan rang undang-undang pindaan (Akta Petronas 1974) ini," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain