suria

Lebih 2,000 Projek Dan 100 Program NKRA Dipamer Untuk Tatapan Umum

PETALING JAYA: Sebanyak 7,000 aktiviti serta 2,000 projek dan 100 program yang dikenal pasti dalam enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) dipamerkan kepada orang ramai sempena hari terbuka Program Transformasi Kerajaan (GTP) selama dua hari bermula hari ini di Pusat Konvensyen Sunway di sini.

Orang ramai boleh memberikan maklumat balas mengenai enam bidang berkenaan pendidikan, jenayah, rasuah, pengangkutan awam, kemudahan asas luar bandar dan pendapatan isi rumah.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Tan Sri Dr Koh Tsu Koon berkata, jadual pelaksanaan GTP 1Malaysia itu akan dipaparkan dalam laman web Unit Pengurusan dan Penyampaian Prestasi (Pemandu) penghujung bulan depan setelah kerajaan mendapat maklumat balas daripada orang ramai.

"Kerajaan komited dalam usahanya untuk meningkatkan mutu penyampaian perkhidmatan kepada rakyat, dan dengan adanya maklumat balas daripada orang ramai, sistem penyampaian perkhidmatan ini depat dilaksanakan dengan lebih jelas dan boleh diukur," katanya.

Turut hadir, bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan seorang lagi Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Idris Jala yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Pemandu. NKRA dan Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak pada Julai lepas adalah sebahagian daripada GTP ke arah mencapai hasrat negara mencapai Wawasan 2020.

Menerusi hari terbuka itu, orang ramai dapat menilai tindakan atau rancangan bagi melaksanakan setiap daripada NKRA itu.

Koh, yang juga Pengerusi Pemandu iaitu badan yang mengawal selia pelaksanaan dan menilai kemajuan inisiatif GTP itu, berkata walaupun belum sampai setahun usianya, pendekatan menerusi NKRA telah mencapai banyak kejayaan.

Program yang amat komprehensif itu, katanya, belum pernah dilaksanakan oleh mana-mana negara lain.

"Kejayaan yang dicapai dalam tempoh tidak sampai lapan bulan adalah bukti komitmen Perdana Menteri dan usaha bersepadu semua menteri, agensi, jabatan dan anggota perkhidmatan awam.

"Kerajaan komited dalam melaksanakan program transformasi sebagai agenda utamanya berdasarkan pendakatan dan falsafah 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan," katanya.

Pada sidang akhbar kemudian, Koh berkata, kerajaan sentiasa bersikap terbuka dalam menerima cadangan, sama ada dalam bentuk idea baru, syarat baru dan teguran yang membina.

Koh berkata, hari terbuka yang serupa akan diadakan di Kuching dan di Kota Kinabalu pada Januari ini.

Sementara itu, Idris pula berkata, kerajaan menganggap anggota perkhidmatan awam dan orang ramai sebagai rakan kongsinya, dan sebab itulah, hari terbuka GTP itu merupakan satu platform bagi membolehkan golongan ini memberikan maklumat balas dan cadangan.

Perdana Menteri telah pun menamakan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai menteri peneraju bagi bidang pendidikan, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Hussein bagi membanteras jenayah, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd Nazri Aziz bagi pencegahan rasuah, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Shahrizat Abdul Jalil bagi meningkat taraf kehidupan golongan berpendatan rendah, Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Seri Shafie Apdal bagi meningkatkan kemudahan asas di luar bandar dan kawasan pedalaman, dan Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ong Tee Keat bagi meningkatkan mutu pengangkutan awam. -BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain