suria

Bekas CEO Kesas Bebas Satu Lagi Tuduhan Rasuah

SHAH ALAM: Dua bulan lepas, Mahkamah Sesyen di sini melepas dan membebaskan bekas Ketua Pegawai Eksekutif konsesi lebuh raya bertol, Kesas Sdn Bhd, Ahmad Kamaruzaman Abdullah daripada dua tuduhan memperoleh suapan berjumlah RM237,000 tetapi memerintahkan beliau membela diri terhadap satu lagi tuduhan memperoleh suapan RM254,000.

Bagaimanapun hari ini, Hakim M.Gunalan memutuskan untuk melepas dan membebaskan Ahmad Kamaruzaman daripada tuduhan memperoleh suapan RM254,000 itu setelah berpuas hati bahawa pembelaan berjaya menimbulkan keraguan munasabah terhadap kes pendakwaan.

Sepanjang perbicaraan, Timbalan Pendakwa Raya Roziza Sidek daripada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memanggil 20 saksi pendakwaan manakala pembelaan yang diwakili peguam Mat Zaidan Ali mengemukakan dua saksi.

Pada 27 Januari 2006, Ahmad Kamaruzaman yang ketika itu bertugas sebagai Ketua Pegawai Operasi di Wisma Kesas, No 1, Lebuh Raya Shah Alam, Subang Jaya dekat sini, mengaku tidak bersalah memperoleh suapan iaitu cek bernilai RM254,000 bagi dirinya daripada pegawai syarikat Lintasan Lurus Sdn Bhd, Sanusi Damak yang dimasukkan ke dalam akaunnya.

Ia sebagai upah untuk melantik syarikat itu (Lintasan Lurus) sebagai juru perunding kepada Kesas bagi cadangan pembangunan kawasan hentian sebelah termasuk kemudahan awam serta stesen minyak di Kilometer 34, Lebuhraya Shah Alam (arah Timur dan Barat).

Ahmad Kamaruzaman didakwa melakukan kesalahan itu di Bumiputera Commerce Bank Berhad, Kompleks Antarabangsa, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur, kira-kira pukul 4.10 petang pada 18 Julai 2000.

Beliau didakwa mengikut Seksyen 11 (a) Akta Pencegahan Rasuah 1997 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 16 Akta yang sama, yang memperuntukkan hukuman penjara minimum 14 hari atau maksimum 20 tahun dan denda maksimum RM10,000 atau lima kali ganda nilai suapan, mana yang lebih tinggi.

Dalam penghakimannya, Gunalan berkata berdasarkan keterangan saksi, mahkamah mendapati jumlah suapan yang didakwa telah diberi kepada Ahmad Kamaruzaman tidak sama dengan jumlah suapan yang dikatakan diperoleh oleh beliau (Ahmad Kamaruzaman) dan pengadu juga tidak menyatakan cara bayaran dibuat ketika membuat laporan.

"Keterangan tertuduh bahawa pembayaran tidak diterima oleh tertuduh sendiri juga tidak dicabar sepenuhnya oleh pendakwaan. Berdasarkan alasan-alasan itu dan disebabkan ada kelemahan dalam keterangan, mahkamah dapati ada keraguan munasabah, justeru tertuduh dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan," katanya.

Pada 6 Oktober lepas, mahkamah yang sama melepas dan membebaskan Ahmad Kamaruzaman daripada tuduhan memperoleh sekeping cek bernilai RM157,000 daripada pengarah syarikat Lintas Lurus, Rosnah Yusoff, sebagai upah melantik syarikat itu bagi tujuan yang sama.

Ahmad Kamaruzaman juga dilepas dan dibebaskan daripada tuduhan memperoleh sekeping cek bernilai RM80,000 atas nama Azman Ibrahim daripada Rosnah sebagai dorongan melantik syarikat Saka Waris Sdn Bhd sebagai juru perunding Kesas untuk cadangan pembangunan kawasan hentian sebelah, stesen minyak dan kemudahan awam di kilometer 26.30 arah barat dan kilometer 29.15 arah timur Lebuh Raya Shah Alam. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain