suria

Singapura, Jepun Perkukuh Kerjasama Pertahanan

SINGAPURA: Singapura dan Jepun memperkukuhkan hubungan kerjasama pertahanan dengan menerima secara formal hubungan yang sedia terjalin antara pihak berkuasa pertahanan kedua-dua negara.

Kedua-dua negara hari ini menandatangani Memorandum Mengenai Pertukaran Pertahanan (MDE) di Kementerian Pertahanan Jepun di Tokyo.

Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Pertahanan Singapura, Teo Chee Hean dan Menteri Pertahanan Jepun, Toshimi Kitazawa menandatangani memorandum itu bagi pihak kementerian masing-masing.

Dalam kenyataan di sini, Kementerian Pertahanan Singapura berkata, pemeteraian memorandum berkenaan membolehkan kedua-dua negara meluaskan lagi bidang kerjasama antara mereka dengan meliputi bidang baru seperti bantuan kemanusiaan dan bantuan semasa berlaku bencana alam, perlindungan daripada bahan kimia, biologi dan radiologi serta ancaman bahan letupan dan operasi sokongan bagi tujuan keamanan.

Sebelum termeterainya memorandum itu, hubungan antara kedua-dua pihak terhad kepada pertukaran lawatan oleh para pegawai pertahanan, kehadiran pada dialog mengenai dasar, penyertaan dalam rundingan pegawai turus tentera dan kehadiran pada kursus dan seminar.

Menurut kementerian itu, pemeteraian MDE pada peringkat kementerian itu mempamerkan hubungan pertahanan dua hala yang rapat antara Singapura dan Jepun serta komitmen masing-masing bagi meningkatkan kerjasama dalam bidang pertahanan demi keamanan dan kestabilan di rantau ini. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Warga Emas Ditemui Mati Dibunuh

Artikel Berikut

Artikel Lain