suria

Gobalakrishan Didenda RM1,000 Takutkan Pegawai Polis Dalam Perhimpunan Haram

SHAH ALAM: Ahli Parlimen Padang Serai, N.Gobalakrishnan dikenakan denda RM1,000 atau tujuh minggu penjara oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menunjukkan kekerasan jenayah untuk menakutkan pegawai polis dalam satu perhimpunan haram anjuran Barisan Bertindak Hak-Hak Hindu (Hindraf) di hadapan sebuah kuil di Batu Caves, Gombak, dua tahun lalu.

Hakim Hasbi Hasan menjatuhkan hukuman itu selepas Gobalakrishnan dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) mengaku bersalah terhadap kesalahan itu dan membayar denda.

Gobalakrishnan didakwa sebagai ahli perhimpunan yang menyalahi undang-undang telah menunjukkan kekerasan jenayah untuk menakutkan pegawai polis yang menjalankan tugas di Jalan Besar Batu Caves, di hadapan Kuil Sri Subramaniar, Batu Caves, kira-kira jam 3 pagi pada 25 November 2007.

Dia didakwa mengikut Seksyen 143 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda atau kedua-duanya sekali.

Fakta kes menyebut, pada hari kejadian, polis mendapati terdapat kira-kira 2,000 orang sedang berhimpun di hadapan pintu besar Kuil Sri Subramaniar dan ketika diminta bersurai, mereka yang berhimpun di hadapan kuil itu tidak mengendahkan arahan itu sambil meluru masuk ke kawasan kuil melalui pintu kuil yang telah dipecahkan. Gobalakrishnan didapati berada di tempat kejadian dan merupakan sebahagian daripada kira-kira 2,000 orang yang menyertai perhimpunan itu. Dia juga telah menunjukkan kekerasan jenayah iaitu dengan mara ke hadapan dan bersorak-sorak sambil mengangkat tangan dalam jumlah yang ramai sehingga menimbulkan ketakutan di kalangan pegawai polis yang menjalankan tugas yang sah di sisi undang-undang.

Pihak polis telah mengarahkan mereka yang menyertai perhimpunan haram itu untuk bersurai tetapi Gobalakrishnan masih berada dalam perhimpunan haram itu walaupun mengetahui arahan bersurai telah pun diberikan.

Terdahulu, Peguam G.K.Ganesan yang mewakilinya memohon mahkamah menjatuhkan hukuman ringan dengan alasan semasa kejadian Gobalakrishnan bukan seorang Ahli Parlimen dan dia hanya dilantik sebagai Ahli Parlimen pada 8 Mac tahun lepas. Di mahkamah yang sama, turut dikenakan denda RM1,000 ialah seorang mekanik, B.Varatharaju, 34, yang mengaku bersalah melakukan kesalahan yang sama.

Gobalakrishnan dan Varatharaju merupakan antara 66 individu yang sebelum ini didakwa terlibat dalam perhimpunan haram anjuran Hindraf itu.

Sehingga kini, daripada 66 individu terbabit 57 daripada mereka telah menukar pengakuan kepada bersalah dan dikenakan denda antara RM750 dan RM850 manakala yang selebihnya masih mengekalkan pengakuan tidak bersalah dan sedang dibicarakan. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Warga Emas Ditemui Mati Dibunuh

Artikel Berikut

Artikel Lain