suria

Kes Tuntutan Palsu Anggota Parlimen Sabak Bernam Ditetap Pada 26 April

SHAH ALAM: Mahkamah Sesyen di sini menetapkan 26 April depan untuk perbicaraan kes Anggota Parlimen Sabak Bernam, Abdul Rahman Bakri yang menghadapi lapan tuduhan membuat tuntutan palsu berjumlah RM80,000 ketika menyandang jawatan Anggota Dewan Undangan Negeri (Adun) Sungai Air Tawar, tahun lepas.

Hakim Syafeera Mohd Said turut menetapkan tarikh perbicaraan yang sama terhadap pembantu tadbir Abd Rahman, Rosli Busro, 41, yang didakwa bersubahat melakukan kesalahan itu.

Kedua-dua mereka akan dibicarakan bersama bermula 26 April sehingga 7 Mei depan.

Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Hizween Azleena Othman Kamal hadir bagi pihak pendakwaan sementara Abd Rahman dan Rosli diwakili peguam Hashim Ibrahim.

Pada 3 November lepas, Abd Rahman, 44, mengaku tidak bersalah atas tuduhan menggunakan surat Adun Sungai Air Tawar yang mengandungi butiran palsu antara 21 Januari dan 12 Febuari 2008 di Pejabat Daerah Sabak Bernam. Ia melibatkan lapan program termasuk Program Mesra Rakyat dan Hari Keluarga Kumpulan Rukun Tetangga (RT), Program Forum Perdana, Sambutan Maulud Nabi, beberapa program motivasi dan jamuan meraikan pelajar cemerlang.

Kesalahan itu dibuat mengikut Seksyen 11(c) Akta Pencegahan Rasuah 1997 yang boleh dihukum di bawah Seksyen 16 akta sama yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara minimum 14 hari, maksimum 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000, yang mana lebih tinggi.

Mahkamah menetapkan Abd Rahman dibebaskan dengan jaminan RM30,000 sementara Rosli dibebaskan dengan jaminan RM9,000. - BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain