suria

Mahkamah Tetap 7 Januari Untuk Pengurusan Dokumen Kes Pembunuhan Muntik

SHAH ALAM: Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini menetapkan 7 Januari tahun depan bagi sebutan kes pembunuhan pembantu rumah warga Indonesia, Muntik.

Pesuruhjaya Kehakiman Mohd Yazid Mustafa menetapkan tarikh itu bagi membolehkan V.Rajehgopal, peguambela tertuduh A.Murugan, memperoleh dokumen-dokumen yang diperlukan bagi pembelaan anak guamnya.

Murugan, 35, penjual air tebu, mengaku tidak bersalah semasa dihadapkan ke mahkamah 3 November lepas kerana dituduh membunuh Muntik, 36, antara 18 dan 20 Oktober lepas.

Dalam prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya, Manoj Kurup, memberitahu mahkamah bahawa 33 dokumen telah dikenal pasti untuk disebut dalam kes itu tetapi laporan bedah siasat, laporan kimia dan laporan perubatan Muntik belum lagi diterima.

Mahkamah sebelum ini menetapkan 18 hingga 29 Januari sebagai tarikh perbicaraan. - BERNAMA

Artikel Lain