suria

Tiada Laporan Dalam Penjualan 1.4 Hektar Tanah Di Georgetown - Lim

PULAU PINANG: Ketua Menteri Lim Guan Eng berkata tidak ada penyelewengan yang berlaku berkaitan jualan sebidang tanah seluas 1.4 hektar di Georgetown.

Lim berkata dakwaan terhadap kerajaan negeri yang mengenakan bayaran premium yang rendah kepada PDC Heritage Hotel Sdn Bhd (PHH) bagi tanah itu adalah satu dakwaan yang dibuat tanpa kajian teperinci.

Beliau berkata permohonan pembelian tanah itu melibatkan dua permohonan yang dibuat secara serentak iaitu permohonan pindah syarat dan permohonan menukar jenis pegangan tanah.

"Memang benar tanah ini mempunyai nilaian yang sangat tinggi di mana ianya dinilai oleh Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) pada harga RM2,7000 semeter persegi atau RM270 sekaki persegi," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau menjawab dakwaan Bendahari Pemuda Umno Negeri Aziaan Ariffin yang membuat laporan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) terhadap kerajaan negeri yang didakwanya mengenakan premium berjumlah lebih kurang RM45 sekaki persegi sahaja kepada PHH sungguhpun harga pasaran adalah lebih kurang RM250 sekaki persegi.

Mengulas lanjut, Lim berkata tanah tersebut telah dinilai oleh JPPH melalui surat bertarikh 19 Jun, 2008 dengan nilai hak milik kekal lebih kurang RM37 juta dan hak milik pajakan 99 tahun bernilai RM31 juta.

"Memandangkan tanah ini adalah tanah persendirian milikan PDC Heritage Sdn Bhd yang mana hak milik dipegang selama 99 tahun dan permohonan ini bukan permohonan beri milik tanah," katanya.

Justeru itu, beliau berkata kerajaan negeri hanya boleh mengenakan premium berdasarkan kepada perbezaan hari antara pegangan kekal dengan harga tanah pajakan.

Lim juga menegaskan bahawa kerajaan negeri tidak memberi atau meluluskan apaapa diskaun ke atas kelulusan tersebut dan PHH perlu membayar semua jumlah premium yang dikenakan sebanyak kirakira RM8.3 juta.

Lim menjelaskan pengiraan premium bagi tujuan permohonan hak milik kekal adalah berdasarkan kepada perbezaan harga di antara nilaian tanah atas pegangan kekal ditolak nilai tanah atas baki pajakan.

"Manakala, formula perkiraan premium tambahan untuk tukar syarat nyata adalah lima peratus daripada nilaian tanah," katanya. BERNAMA

Artikel Lain