suria

Polis Kelantan Belum Terima Gambar Penyokong Ganas

KOTA BAHARU: Polis Kelantan masih belum menerima sebarang maklumat terperinci daripada Polis Kuala Lumpur dalam usaha membantu mengesan penonton yang merosakkan peralatan Stadium Nasional Bukit Jalil dalam perlawanan akhir Piala Malaysia, 7 November lepas.

Ketua Polis Kelantan Datuk Abdul Rahim Hanafi berkata: "Kita masih menunggu maklumat lanjut daripada Polis Kuala Lumpur dan akan menghubunginya bagi mengetahui perkembangan terbaru dalam masa terdekat ini."

Bercakap kepada Bernama ketika dihubungi hari ini, beliau berkata bantuan polis Kelantan diperlukan bagi mempercepatkan proses pengecaman penyokong Kelantan yang terlibat dalam kekecohan itu untuk diambil tindakan.

"Kami juga masih belum menerima gambar suspek dalam kes itu yang dipetik daripada rakaman kamera litar tertutup (CCTV) pada perlawanan itu," katanya.

Dalam kenyataannya pada 15 November lepas, Abdul Rahim berkata Polis Kelantan sudah dihubungi Polis Kuala Lumpur untuk membantu mengesan penyokong ganas bola sepak negeri ini yang menimbulkan kekecohan dengan bertindak liar ketika perlawanan akhir Piala Malaysia antara Kelantan dengan Negeri Sembilan yang berkesudahan Kelantan tumpas 1-3.

Polis Kuala Lumpur berkata wajah-wajah mereka sudah dicam dan pihaknya sedang mengumpul butiran identiti kesemua mereka yang dipercayai terlibat dalam insiden itu.

Artikel Lain