suria

Mahkamah Tinggi Putuskan Yim Pek Ha 3 Disember

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini menetapkan 3 Disember ini bagi memberikan keputusan terhadap rayuan suri rumah Yim Pek Ha yang dijatuhi hukuman penjara 18 tahun selepas didapati bersalah terhadap tiga tuduhan dengan sengaja mencederakan pembantu rumahnya, seorang warga Indonesia pada 2004.

Pesuruhajaya Kehakiman Azman Abdullah menetapkan tarikh itu selepas selesai mendengar hujahan Timbalan Pendakwa Raya Raja Rozela Raja Toran dan keduadua peguam bela Akhbardin Abdul Kader serta Jagjit Singh yang mewakili Yim.

Yim, 41, yang dibenarkan diikat jamin sebanyak RM200,000, hadir ke mahkamah ditemani suaminya, Hii Ik Ting serta beberapa ahli keluarga lain.

Pada 27 November tahun lepas, bekas pramugari itu dihukum penjara selama 18 tahun bagi tiga pertuduhan selepas Mahkamah Sesyen mendapatinya bersalah mencederakan Nirmala Bonat, 19 (ketika kejadian) menggunakan seterika dan air panas di Villa Putera, Jalan Tun Ismail, di sini, pada Januari, Mac dan April 2004.

Dalam rayuannya hari ini, peguam Akhbardin menghujahkan hakim bicara telah terkhilaf apabila memutuskan keterangan seorang saksi, Femina Anunut, dari Indonesia, sebagai tidak relevan kepada kes itu.

Akhbardin berkata keterangan saksi itu penting kerana ia dapat membantu mahkamah menunjukkan keadaan mental Nirmala yang dikatakan mengalami tekanan dan mempunyai kecenderungan untuk mencederakan dirinya sendiri.

Peguam itu juga mempersoalkan mengapa Nirmala tidak mempunyai kesan kecederaan mempertahankan diri jika benar dia didera oleh tertuduh.

"Adakah munasabah seseorang hanya akan berdiri dan membiarkan dirinya ditekap dengan seterika panas tanpa melawan? Sedangkan Nirmala secara fizikalnya adalah kuat berbanding tertuduh yang baru beberapa bulan melahirkan anak sebelum kejadian," kata Akhbardin.

Sementara itu, Jagjit, yang mengambil contoh keputusan mahkamah dalam beberapa kes penderaan sebelum ini, menghujahkan hukuman 18 tahun yang dikenakan terhadap Yim adalah keterlaluan.

"Dalam kes Herlina Trisnawati, pembantu rumah dari Surabaya, Mahkamah Persekutuan pada 10 Mac, 2008 mengenepikan hukuman penjara 18 tahun dan menggantikan dengan hukuman penjara 10 tahun terhadap Herlina bagi kesalahan menyebabkan cedera parah ke atas isteri majikannya tahun lepas.

"Dalam satu kes lain, mahkamah menjatuhkan hukuman tiga tahun terhadap seorang nenek yang mendera dengan menyimbah air panas kepada pembantu rumahnya, sementara dalam satu kes di Singapura, seorang suri rumah yang mencurah air panas ke badan pembantu rumah dan memaksa mangsa tidur dalam bilik bersama anjing dipenjara 10 bulan," katanya.

Raja Rozela dalam hujahan balasnya berkata hukuman terhadap Yim patut dijalankan secara berasingan kerana ia membabitkan tiga pertuduhan berbeza, yang bermakna Yim sepatutnya menjalani hukuman penjara selama 54 tahun bagi ketigatiga pertuduhan (hukuman bagi setiap pertuduhan ialah penjara 18 tahun).

Mengenai isu Femina tidak dipanggil untuk memberikan keterangan, Raja Rozela menjelaskan: "Kami (pendakwaan) menganggap saksi itu tidak penting kerana dia tidak pernah berada di sini (Malaysia) dan tidak pernah melihat sendiri atau mengetahui apa yang berlaku di rumah tertuduh. Oleh itu tindakan kami tidak memanggilnya tidak akan mengganggu kes pendakwaan."

Mahkamah selesai mendengar hujahan pada pukul 5.30 petang tadi dan akan menyampaikan keputusannya terhadap rayuan Yim pada pukul 2.30 petang, Khamis depan. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain