suria

Pasukan petugas polis ditubuh siasat kematian Bekas Presiden MBAM

KUALA LUMPUR: Satu pasukan petugas polis akan dibentuk untuk menyiasat insiden Bekas Presiden Persatuan Pemborong Binaan Malaysia (MBAM) Datuk Patrick Wong meninggal dunia semalam setelah terjatuh dari tingkat satu banglonya ketika melarikan diri daripada tiga perompak bersenjatakan parang.

Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Khairi Ahrasa berkata, walaupun ia diklasifikasikan sebagai kes rompakan, pihak polis akan menyiasat kes itu dari pelbagai sudut.

Katanya, ini termasuk kemungkinan lain seperti persaingan perniagaan.

Dalam insiden pada pukul 7 malam Isnin lalu, Wong, 57, berada dalam bilik komputer di tingkat pertama.

Tiga perompak yang tidak bertopeng tetapi bersenjatakan parang menceroboh masuk rumahnya di Bukit Bandaraya melalui pintu belakang.

Wong dipercayai bergelut dengan dua perompak itu dan melompat keluar dari tingkat untuk menyelamatkan diri.

Difahamkan anak Wong yang berusia 25 tahun ketika insiden itu berlaku sedang mandi di tingkat atas.

Anak perempuannya, 18, dan pembantu rumah pula dikatakan berada di dapur.

Anak Wong yang mendengar bunyi bising keluar dari bilik mandi untuk memeriksa apa yang berlaku.

Dia bergelut dengan salah seorang suspek tetapi ditetak pada lengan tangan kanannya.

Wong dikejarkan ke sebuah hospital persendirian berdekatan tetapi koma sebelum meninggal dunia pada pagi Khamis.

ASP Khairy berkata pihak polis akan mendapatkan bantuan ahli-ahli keluarga Wong untuk menghasilkan lakaran foto suspek-suspek terbabit.

"Kami akan memanggi mereka esok (hari ini)," katanya sambil menambah tiada tangkapan dibuat berhubung kes itu setakat ini.

Artikel Lain