suria

Lelaki Didakwa Bunuh Ibu Ditemui Mati Dalam Penjara

JOHOR BAHARU: Seorang lelaki yang didakwa minggu lepas atas pertuduhan membunuh ibunya, ditemui mati di Penjara Air Molek malam semalam, dalam apa yang didakwa oleh keluarganya sebagai "keadaan yang mencurigakan".

J. Saravanan, 22, dijumpai tergantung dari sebuah kekisi, menggunakan sarung bantal dan tuala yang diikat bersama, kira-kira 9 malam.

Seorang warder yang memulakan tugasnya pada 9 malam, menemui tertuduh kes bunuh itu tergantung dalam penjara berkenaan dan memaklumkannya kepada pihak berkuasa penjara.

Mayatnya dihantar ke Hospital Sultanah Aminah untuk bedah siasat.

Di luar bilik mayat hospital, bapa saudara simati, K. Chandran, memberitahu media bahawa pihak berkuasa hospital memberitahu keluarganya bahawa anak saudaranya itu telah pun meninggal dunia setelah tiba di hospital.

Beliau mendakwa keluarga berkenaan dimaklumkan mengenai insiden itu, hanya kira-kira dua jam selepas kematian Saravanan.

Chandran, 42, berkata beliau berhasrat membuat laporan polis berhubung kematian Saravanan memandangkan terdapat lebamlebam pada tubuhnya, menimbulkan kesangsian terhadap peristiwa yang membawa kepada kematian anak saudaranya itu.

Katanya, beliau berasa curiga berhubung kematian Saravanan.

Pemangku Ketua Polis Johor Datuk Jalaluddin Abdul Rahman mengklasifikan kes itu sebagai kematian mengejut.

Pada 11 November, Saravanan didakwa membunuh ibunya, Malliha Kathirvel, 47, di rumah mereka di Kampung MIC, Ulu Tiram antara 9.30 pagi dan 10.30 pagi pada 5 Okt lepas.

Dia menghadapi pertuduhan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori.

Kes itu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi untuk sebutan.

Mayat Malliha yang disumbat dalam sebuah beg kembara ditemui disembunyikan di bawah sinki dapur rumah berkenaan pada 6 Oktober. BERNAMA

Artikel Lain