suria

Kotak Berisi Tuala Wanita Disangka Bom

SHAH ALAM: Sebuah pejabat pengurusan dan stor pasar raya besar di Seksyen 13 di sini kecoh apabila sebuah kotak berisi sampel tuala wanita disangka mengandungi bom.

Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Noor Azam Jamaluddin berkata polis menerima panggilan daripada seorang lelaki yang dikenali sebagai Suresh kira-kira pukul 1.30 tengah hari mendakwa terdapat sebuah bom di kawasan pasar raya berkenaan.

Beliau berkata sebaik menerima panggilan daripada lelaki itu, kereta peronda polis (MPV) dan unit pemusnah bom dihantar ke pasar raya besar terbabit bagi melakukan pemeriksaan di kawasan sekitar.

"Pemeriksaan membawa kepada penemuan sebuah kotak berwarna coklat yang ditinggalkan berhampiran tangga menuju ke pejabat pentadbiran pasar raya itu.

"Kotak berkenaan dihantar ke alamat pejabat pentadbiran pasar raya terbabit daripada sebuah syarikat di Hong Kong," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Noor Azam berkata polis kemudian memusnahkan kotak berkenaan menggunakan air jet pada kira-kira pukul 4.30 petang dan mendapati ia mengandungi sampel tuala wanita yang dihantar ke pasar raya besar berkenaan.

Beliau berkata selain unit pemusnah bom, polis turut menggunakan unit anjing pengesan dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor dalam operasi yang berakhir kirakira pukul 5.30 petang itu.

Sehubungan itu, beliau berkata polis mengesahkan panggilan yang dibuat oleh lelaki terbabit adalah panggilan palsu kerana tiada sebarang bom ditemui dan kawasan pasar raya itu disahkan selamat.

"Lelaki yang mendakwa dirinya sebagai Suresh ini memang sering menghubungi polis dan menggunakan telefon awam di mana kita percaya dia merupakan orang awam," katanya.

Noor Azam dalam pada itu mengingatkan orang awam agar tidak membuat panggilan palsu kerana ia hanya menimbulkan suasana panik dan mengganggu tugasan serta operasi pelbagai pihak.

Sementara itu, tinjauan di sekitar pasar raya besar berkenaan mendapati pengunjung membeli belah seperti biasa dan hanya kawasan di pejabat pentabiran, stor dan belakang pasar raya sahaja dikosongkan dan ditutup dengan garisan polis. BERNAMA

Artikel Lain