suria

Bilangan Penuntut Malaysia Di Amerika Dijangka Meningkat Tahun Depan

KUALA LUMPUR: Bilangan penuntut Malaysia di Amerika Syarikat menurun sejak beberapa tahun kebelakangan ini disebabkan mereka terlalu mementingkan populariti sesebuah universiti semasa membuat permohonan kemasukan.

Pengarah Eksekutif Suruhanjaya Pertukaran Pendidikan Malaysia-Amerika (MACEE) James Coffman berkata selain itu ia turut berpunca daripada kesukaran memperoleh visa pelajar sejak kejadian 11 Sept.

"Ketika ini seramai 5,500 penuntut Malaysia menuntut di Amerika berbanding 15 tahun lalu dengan lebih 18,000 penuntut belajar di sana.

"Apa yang penting bukanlah populariti universiti yang dipohon tapi yang lebih perlu diambil kira ialah kualiti pengajaran dan pembelajaran serta kelulusan," katanya pada ceramah pendidikan tinggi sempena Minggu Pendidikan di Menara Yayasan Tun Razak di sini hari ini.

Beliau bagaimanapun menjangka bilangan itu akan meningkat lebih sekali ganda tahun depan memandangkan visa pelajar bagi rakyat Malaysia kini lebih mudah diperoleh. Selain itu, Coffman berkata kos pembelajaran di Amerika adalah sekali hingga dua kali ganda lebih rendah dari United Kingdom dan Australia yang lebih menjadi pilihan penuntut negara ini.

Beliau berkata MACEE akan turut menganjurkan pelbagai program bagi menarik penuntut Amerika melanjutkan pengajian di sini.

Bagi yang berminat melanjutkan pelajaran di negara itu, maklumat lengkap boleh diperoleh di laman web www.EducationalUSA.org.my. - BERNAMA

Artikel Lain