suria

Kumpulan warga Sri Lanka dituduh menculik

KUALA LUMPUR: Sekumpulan empat lelaki dari Sri Lanka didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas tuduhan menculik seorang budak lelaki berumur 16 tahun yang juga warga senegara mereka.

Tiada pengakuan direkodkan daripada kesemua tertuduh yang menganggur selepas pertuduhan dibaca dalam bahasa Tamil.

S. Selvakumar, 32, didakwa bersama T. Ramu, 20, B. Jayanathan, 25, dan J. Anthony, 21, menculik Janusan Ravichandran untuk mendapatkan wang tebusan di Pangsapuri Mutiara Magna, Kepong, antara 8.20 pagi pada 26 Oktober dan 12.30 tengah hari pada 31 Oktober tahun ini.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 3 Akta Culik 1961 dan dibaca bersama mengikut Seksyen 34 kanun yang sama, yang mana boleh membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup jika sabit kesalahan.

Majistret Nurshakinah Ahmad Kamaruddin kemudian menetapkan 14 Jan tahun depan untuk sebutan semula.

Pendakwaan dilakukan oleh Cif Insp Nhom Phot Prakdit yang tidak menawarkan jaminan atas alasan kesalahan ini tidak boleh dijamin.

Kesemua tertuduh diwakili peguam M. Kavimani

Tertuduh pertama Selvakumar juga dibawa ke Mahkamah Majistret yang lain dan dituduh bersama-sama seorang lagi lelaki warga Sri Lanka menculik dengan niat untuk mengurung seorang lagi lelaki senegara mereka pada 31 Oktober.

Selvakumar dan R. Purusothatham, 22, tidak mengaku salah menculik M. Jeganathan di tempat yang sama pada pukul 9 pagi hari berkenaan.

Mereka didakwa mengikut Seksyen 365 Kanun Keseksaan yang dibaca mengikut Seksyen 34 kanun yang sama, di mana boleh dihukum penjara sehingga tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Kedua-dua tertuduh yang menganggur turut mengaku tidak bersalah terhadap satu lagi pertuduhan pilihan mengurung mangsa yang sama di tempat, tarikh, dan waktu yang sama, mengikut Seksyen 342 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara setahun atau denda sehingga RM2,000 atau keduaduanya jika sabit kesalahan.

Majistret Siti Shakirah Mokhtaruddin tidak membenarkan sebarang jaminan dan menetapkan 4 Disember ini untuk sebutan semula kes itu. BERNAMA

Artikel Lain