suria

Mahkamah tetapkan 23 November dengar permohonan Anwar

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi hari ini menetapkan tarikh 23 November ini untuk mendengar permohonan Penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim bagi membatalkan tuduhan liwat ke atas dirinya.

Mahkamah juga menetapkan hari yang sama untuk sebutan perbicaraan kes liwat itu.

Pada 10 Mac lalu, Anwar, 62, telah didakwa meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd Saiful Bukhari Azlan, 24, di sebuah kondominium di Bukit Damansara pada 26 Jun tahun lepas.

Mahkamah Rayuan akan membuat keputusan Jumaat ini sama ada Anwar akan memperoleh dokumen penting pendakwaan serta contoh spesimen bekas pembantunya itu yang didakwa oleh Anwar amat penting untuk kes pembelaannya.

Mohd Saiful hadir di mahkamah hari ini bersama bapanya, Azlan Mohd Lazim dan peguam, Zamri Idrus.

Bercakap kepada wartawan selepas itu, Mohd Saiful berkata, dia hadir untuk melihat perkembangan kes tersebut dan bersedia untuk membuktikannya.

"Saya sudah lama bersedia untuk menunjukkan bukti bila-bila masa saja walaupun mahkamah menetapkan tarikhnya esok," katanya.

Dia turut meminta pihak-pihak yang terlibat di dalam kes tersebut agar mempercepatkan perbicaraan supaya dia boleh menunjukkan bukti secepat mungkin dan berharap Anwar tidak lagi memberikan pelbagai alasan.

"Saya sudah menunggu selama setahun setengah. Keluarga dan tunang saya amat penyabar menantikan tarikh perbicaraan ini supaya kebenaran akan terungkai juga," katanya.

Artikel Sebelum

Artikel Lain