suria

Bom Perang Dunia Kedua yang ditemui di tapak pembinaan dimusnahkan

SUBANG JAYA: Unit Pemusnah Bom Polis Diraja Malaysia semalam memusnahkan bom peninggalan Perang Dunia Kedua yang ditemui tertanam di tapak pembinaan Taman Damai Utama, Bandar Kinrara dekat sini.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Zainal Rashid Abu Bakar berkata bom berukuran kira-kira satu meter panjang itu diletupkan pada pukul 8.45 malam tadi selepas ia ditemui oleh sekumpulan pekerja tapak pembinaan taman itu petang kelmarin.

Gegaran daripada letupan itu dapat dirasai oleh orang ramai yang berada kira-kira 200 meter dari tempat pemusnahan bom.

"Bom seberat 227kg itu dimusnahkan selepas polis mengarahkan ratusan penduduk di Taman Puncak Jalil 7 dan dari enam blok Pangsapuri Enggang di situ mengosongkan buat sementara waktu kediaman masingmasing," katanya kepada pemberita di tempat kejadian.

Zainal Rashid berkata mereka diminta berbuat demikian demi keselamatan kerana bom itu boleh menyebabkan gegaran sekitar lingkungan satu kilometer.

Polis turut menutup sementara jalan masuk berhampiran kawasan kediaman pangsapuri itu.

Bom itu yang tertera "1945" jenis MK1 ditemui kira-kira pukul 6 petang ketika pekerja tapak pembinaan itu sedang mengorek tanah di kawasan tersebut. BERNAMA

Artikel Lain