suria

Mahkamah tolak permohonan Gobind cabar penggantungan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasakuasa Khas) di sini hari ini menolak permohonan Anggota Parlimen Puchong, Gobind Singh Deo, agar perintah penggantungannya daripada Dewan Rakyat selama setahun mulai awal tahun ini, ditarik balik.

Bagaimanapun, Hakim Mohd Ariff Md Yusof, membuat keputusan bahawa wakil rakyat itu berhak menerima ganjaran termasuk semua elaun dan manfaat sebagai seorang Anggota Parlimen.

Beliau mengarahkan agar Gobind Singh dibayar faedah 8 peratus bagi elaunnya. Dalam keputusannya, Hakim Mohd Ariff berkata bahawa mengikut Perkara 64 Perlembagaan Persekutuan, seorang Anggota Parlimen sepatutnya dibayar elaun, dan Dewan Rakyat tidak boleh menafikan hak seseorang wakil rakyat itu daripada mendapat ganjarannya.

Mengenai permohonan Gobind Singh supaya penggantungannya daripada Dewan Rakyat bermula 16 Mac lepas dibatalkan, beliau berkata Mahkamah Tinggi tidak mempunyai bidang kuasa untuk mencabar usul yang diluluskan oleh Dewan Rakyat.

Dalam samannya yang difailkan pada 23 April lepas, Gobind Singh, 36, menamakan Speaker Dewan Rakyat, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, Setiausaha Dewan Rakyat Datuk Roosme Hamzah dan kerajaan sebagai defendan.

Dalam penghakimannya, Mohd Ariff berkata beliau setuju dengan hujah peguam Karpal Singh yang mewakili Gobind Singh bahawa beliau hanya digantung daripada menghadiri persidangan dewan dan bukannya daripada tugas mewakili pengundi di kawasannya.

Hakim berkata beliau juga bersetuju dengan Peguam Kanan Persekutuan Azizah Nawawi bahawa penggantungan Gobind Singh oleh Dewan Rakyat kerana menghina dewan tidak tertakluk kepada semakan perundangan.

Gobind Singh memberitahu pemberita kemudian bahawa beliau akur dengan keputusan mahkamah itu. BERNAMA

Artikel Lain