suria

Mayat lelaki ditemui terdampar di Sungai Klang

KUALA LUMPUR: Mayat seorang lelaki ditemui terdampar di atas pasir di Sungai Klang berhampiran Projek Perumahan Rakyat (PPR), Kampung Limau, Pantai Dalam di sini hari ini.

Ketua Polis Daerah Brickfields ACP Wan Abdul Bari Wan Abdul Khalid berkata mayat lelaki itu dijumpai oleh seorang tukang sapu yang kebetulan membersihkan sampah di kawasan terbabit pukul 11.10 pagi tadi.

"Mayat berkenaan berpakaian lengkap dengan baju kemejat dan seluar jeans. Bagaimanapun, tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemui pada badannya," katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Beliau berkata siasatan awal mendapati lelaki itu mati dalam tempoh kurang daripada 48 jam.

"Kita tidak dapat mengenal pasti lagi umur atau tandatanda pengenalan diri mangsa, tetapi berdasarkan warna kulit kita percaya lelaki ini adalah warga Indonesia.

"Terdapat juga luka kecil pada kepala mangsa, namun kita tidak dapat pastikan lagi sama ada ia luka akibat perbuatan jenayah atau sebaliknya," kata Wan Abdul Bari.

Katanya mayat mangsa telah dihantar ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung kejadian itu diminta menghubungi Ibu pejabat Polis Daerah Brickfields di talian 0322744465 atau mana-mana balai polis berhampiran. BERNAMA

Artikel Lain