suria

Program pemukiman bagi wujud semangat penyatuan Pemuda Umno akan diadakan di Janda Baik

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK KUALA LUMPUR: Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin berkata, beliau berpuas hati dengan usaha penyatuan di kalangan ahli pergerakan itu.

Malah beliau menyifatkan penyatuan tersebut berjaya mengelakkan daripada wujudnya kumpulan-kumpulan berasingan terutamanya selepas proses pemilihan lepas yang menyaksikan Khairy menewaskan dua pencabar iaitu Datuk Mukhriz Mahathir yang juga Anggota Parlimen Jerlun dan bekas Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo.

"Tidak ada lagi pasukan no 1, no 2 atau 3... Hari ini hanya ada satu Pemuda (Umno) untuk kita semua.

"Bagaimanapun mungkin usaha penyatuan secara menyeluruh ini akan mengambil masa yang agak lama, tapi saya berharap agar anda semua akan terus bersama-sama melihat kepada penyatuan ini," katanya ketika menggulung perbahasan persidangan pergerakan itu di Dewan Tun Dr Ismail di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini semalam.

Bagaimanapun katanya rentetan daripada usaha penyatuan di kalangan Pemuda Umno, satu program pemukiman yang akan melibatkan pemimpin peringkat Bahagian akan diadakan di Janda Baik sebelum penghujung tahun ini.

"Sebelum akhir tahun ini kita akan panggil semua ketua pemuda dan naib ketua pemuda bahagian untuk kita bermukim di Janda Baik bagi mewujudkan semangat penyatuan," katanya.

Selain itu Khairy yang juga Ahli Parlimen Rembau berkata Pemuda Umno yakin untuk memenuhi penunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan pucuk pimpinan parti iaitu menambah keahlian pergerakan itu dan mendaftar mereka sebagai pengundi.

"Marilah kita buktikan, kita adalah angkatan Pemuda yang terbaik dalam sejarah Pemuda Umno," katanya.

Menurutnya usaha sedemikian sejajar dengan penetapan tiga petunjuk prestasi utama (KPI) yang perlu dilaksanakan oleh ketiga-tiga sayap Umno bagi mengembalikan parti itu sebagai wadah perjuangan orang Melayu dan rakyat seperti yang ditekankan oleh Timbalan Presiden Umno, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tiga petunjuk prestasi utama itu ialah menambah anggota baru, mendaftar pengundi baru dan membentuk jaringan dengan pertubuhan bukan kerajaan.

Ini sejajar dengan usaha Umno untuk menarik sokongan generasi muda.

Khairy turut berharap perwakilan memberi masa kepada barisan Exco pergerakan itu untuk membuktikan kemampuannya melakukan proses transformasi dalam parti.

Sementara itu, anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika menyampaikan ucapan penangguhan perhimpunan agung pergerakan itu berharap suara perpaduan yang dikumandangkan oleh perwakilan Pemuda hari ini datang daripada hati yang tulus ikhlas.

"Pada hari ini saya lihat rata-rata bercakap soal perpaduan, yang di atas bercakap soal perpaduan yang di bawah sambut dengan tepukan.

"Saya harap ini adalah satu isyarat bahawa Pemuda Umno ingin bersatu di bawah seorang pemimpin iaitu Khairy Jamaluddin," katanya.

Bagaimanapun Ismail Sabri berkata, beliau memahami rintihan yang dibangkitkan pembahas khususnya yang berkaitan dengan kewangan di peringkat bahagian kerana beliau sendiri pernah melalui pengalaman itu.

Malah beliau yang juga Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, berjanji untuk memanjangkan perkara itu kepada Presiden Umno, Datuk Seri Najib Tun Razak melalui mesyuarat khas MT Umno semalam.

Artikel Lain