suria

Miliki ijazah secara tidak sah perbuatan tidak bermaruah, titah Agong

SHAH ALAM: Yang diPertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin hari ini bertitah baginda tidak mahu ada di kalangan warganegara Malaysia memiliki ijazah murahan, tidak diiktiraf dan diperolehi dengan cara yang tidak sah.

"Jika ini berlaku, ia merupakan satu perbuatan tidak bermaruah dan jika tidak dibendung akan menjadikan kita keseluruhan masyarakat yang palsu dan tidak bermaruah juga," titah baginda ketika berucap pada majlis konvokesyen ke-71 Universiti Teknologi MARA (UiTM) di sini hari ini.

Turut berangkat ke majlis itu Raja Permaisuri Agong Tuanku Nur Zahirah.

Justeru, baginda menyarankan agar UiTM dan semua universiti mengambil tindakan sewajarnya untuk menjamin kualiti, pengiktirafan dan integriti setiap ijazah yang mereka anugerahkan.

Baginda bertitah universiti juga mesti memastikan ijazah individu yang mahu bekerja di institusi masing-masing adalah yang tulen dan diiktiraf bagi memastikan hanya individu yang berkebolehan dan dipercayai diambil untuk mendidik anak bangsa.

Tuanku Mizan yang juga Canselor UitM bertitah baginda pasti pencapaian yang diraikan pada konvokesyen kali ini adalah satu kejayaan yang tulen hasil daripada usaha, titik peluh dan kebijaksanaan siswa-siswi yang luhur.

"Beta juga yakin, diploma, ijazah, sarjana, serta ijazah kedoktoran yang dikeluarkan UiTM ini adalah ikhlas dan tulen dari segi pembelajaran, pengajaran serta proses-proses akademiknya.

"Dari sini lahirnya graduan yang berkualiti dan berintegriti, yang seterusnya akan menzahirkan masyarakat yang bertamadun tinggi," titah baginda.

Baginda bertitah dalam majlis konvokesyen kali ini seramai 21,128 orang graduan menerima daripada diploma sehingga ijazah doktor falsafah masing-masing dan jika dicampur jumlah graduan pada konvokesyen lepas baru-baru ini seramai 13,881 orang, ini menunjukkan dalam tahun ini sahaja UiTM melahirkan 35,009 graduan.

Tuanku Mizan bertitah: "Dengan ini maka bertambah besarlah jumlah ahli alumni universiti ini, yang kini telah melebihi 350,000 orang. Justeru, beta menyeru kepada para graduan dan alumni, untuk menjaga nama baik universiti'dan menghapuskan segala tanggapan negatif dan tohmahan terhadap universiti ini dan keseluruhan sistem pengajian di dalam negara."

Pada sidang pertama konvokesyen hari ini, Yang diPertuan Agong turut menyampaikan Ijazah Kehormat Doktor Kerajaan dan Politik kepada bekas Timbalan Perdana Menteri Tun Musa Hitam.

Musa dipilih oleh UiTM menerima anugerah itu berdasarkan sumbangan dan khidmatnya di dalam sejarah pentadbiran kerajaan dan parti (Umno) yang melayakkan beliau disanjung sebagai seorang negarawan dan ahli politik yang berwibawa.

Pada majlis hari ini, seramai 16 menerima ijazah doktor falsafah, 402 menerima ijazah sarjana dan sembilan penerima anugerah Graduan Terbaik.

Anugerah Seri Paduka Baginda Tuanku Canselor pada kali ini diterima oleh Nik Muammar Bahari, 24, yang menamatkan pengajian Sarjana Muda Seni Lukis dan Seni Reka (Kepujian) dengan Himpunan Purata Nilai Gred (CGPA) 3.88.

Anak kelahiran Kedah itu kini berkhidmat sebagai Pereka Projek di Graphia Brands di Hong Kong sejak Julai lepas dan kini beliau terlibat di dalam aspek penjenamaan korporat bagi projek Qatar National Master Plan. BERNAMA

Artikel Lain