suria

Pemandu lori mengaku tidak bersalah cuba tipu tuntutan insurans

KUALA LUMPUR: Seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini terhadap pertuduhan cuba menipu seorang pekerja syarikat insurans bagi membolehkannya menuntut wang insurans RM170,000.

Jaafar Ashara, 36, bersama seorang lagi yang masih bebas, didakwa cuba menipu Kondal Rao Noorkiah, 44, dengan memperdayakannya untuk mempercayai bahawa tertuduh telah terlibat dalam satu kemalangan dengan mengemukakan tuntutan ganti rugi akibat kemalangan itu.

Perbuatan Jaafar itu mendorong Kondal untuk meluluskan tuntutan dan membayar ganti rugi itu kepada tertuduh.

Ayah kepada tiga anak ini didakwa melakukan kesalahan di syarikat Uni Asia General Insurans Bhd di Jalan Sultan Ismail pada 16 Jun 2001.

Jaafar, yang tidak diwakili, didakwa mengikut Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara sehingga 10 tahun dan sebat serta denda jika sabit kesalahan.

Hakim Azizah Mahmud membenarkan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 27 Oktober bagi membolehkan tertuduh melantik peguam.

Pendakwaan dilakukan oleh Timbalan Pendakwa Raya Norasyikin Ahmad. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain