suria

Bajet 2010: PM pelawa rakyat bagi idea dan cadangan

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menjemput rakyat memberikan idea dan cadangan untuk Bajet 2010 yang akan dibentangkan di Parlimen pada 23 Oktober.

"Digalakan oleh banyak respon dan komen, saya terima sebelum ini melalui laman web, sekali lagi saya minta cadangan anda minggu ini mengenai langkahlangkah dan insentifinsentif yang mungkin dimasukkan dalam bajet.

"Cadangan hendaklah spesifik dan fokus mengenai bagaimana kita boleh bergerak untuk menjadi sebuah negara berpendapatan tinggi dan juga memberikan enam NKRA," kata Najib yang juga Menteri Kewangan dalam blognya www.1malaysia.com.my.

Bajet 2010 ialah bajet sulung Najib setelah beliau mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri Malaysia keenam pada 3 April tahun ini.

Mengenai ekonomi Malaysia, Najib berkata "kita telah jauh meninggalkan ekonomi yang bersandarkan pertanian dan komoditi, yang telah menghasilkan ekonomi pendapatan pertengahan atasan yang dinamik hari ini."

"Kita telah melalui waktuwaktu sukar seperti krisis ekonomi Asia pada 1997 dan telah membuktikan dapat bertahan dalam krisis kewangan global yang kini sedang melanda kita.

Namun masih banyak yang perlu dilakukan sebelum kita dapat mengkategorikan negara kita sebagai sebuah negara maju sepenuhnya menjelang 2020," tegas Najib.

Untuk mencapai matlamat Wawasan 2020, katanya Malaysia hendaklah menjadi sebuah Ekonomi Berpendapatan Tinggi seperti yang ditafsirkan oleh Bank Dunia, dan memperoleh skor Petunjuk Pembangunan Insan yang lebih tinggi untuk menunjukkan status negara ini sebagai negara maju.

"Kita tiada pilihan lain kecuali mengubah aktiviti ekonomi kita dalam subsektor ekonomi yang lebih tepat supaya dapat menyegerakan negara kita menjadi negara yang mempunyai tahap pendapatan yang tinggi," kata beliau.

Katanya transformasi sekali lagi memerlukan rakyat meninggalkan zon selesa di belakang dan perlu berusaha menjadi lebih berdaya saing.

Najib berkata perubahanperubahan yang perlu dihadapi termasuklah keperluan untuk menyesuaikan dengan pola permintaan ekonomi luar, bergabung dengan lebih lanjut di rantau ini dan menyelaraskan struktur ekonomi domestik yang telah menyekat ekonomi negara daripada menjadi satu ekonomi yang sepatut dan sebenar-benarnya.

Beliau berkata imbangan istimewa ini diperlukan bagi memastikan semua rakyat Malaysia mendapat manfaat daripadanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain