suria

Perhentian bas tempat pertemuan pengedar dadah

KUALA LUMPUR: Perhentian bas di sekitar ibu negara dan bandar lain didapati menjadi tempat pertemuan pembekal dan pengedar, kata polis.

Ketua Bahagian Narkotik Ibu Pejabat Polis Kuala Lumpur ACP Kang Chez Chiang berkata pengedar dan pembekal akan meletakkan beg mengandungi dadah di kawasan simpanan beg bas atau pun dalam bas itu sendiri dan ia kemudian akan diambil oleh pihak kedua di kawasan lain sebelum dadah itu diedarkan.

Bercakap kepada pemberita di sini, beliau berkata perhentian bas di sekitar ibu negara yang dikenal pasti berlaku kegiatan itu ialah di Jalan Pudu, Hentian Putra, Jalan Duta, Gombak dan Jalan Pekeliling.

Kang berkata ada juga pengedar yang mengirim atau mengupah pemandu bas ekspres untuk membawa barangan yang tanpa disedari turut mengandungi dadah untuk dibawa ke destinasi lain.

Katanya beg atau bungusan itu kemudian akan diambil orang lain untuk diedar di lokasi berkenaan.

Beliau mengingatkan orang ramai supaya berwaspada pada musim perayaan apabila diminta orang tidak dikenali untuk membawa beg atau bungkusan ke sesuatu destinasi kerana ia dikhuatiri mengandungi dadah.

Kang berkata anggota sindiket itu didapati membeli tiket bas untuk bergerak ke Pantai Timur, Selatan Semenanjung dan ke sempadan Thailand bagi mengedar dadah.

Sebelum ini, katanya, polis berjaya menghapuskan banyak sindiket pengedaran dadah antarabangsa yang menjadikan perhentian bas sebagai tempat pertemuan pengedar dan pembekal dadah.

Dalam kebanyakan kes, dadah ditemui disembunyi dalam bingkai, pakaian dalam dan sabun. BERNAMA

Artikel Sebelum

Umat Islam sambut Aidilfitri Ahad

Artikel Berikut

Artikel Lain