suria

Kastam Terengganu rampas mercun dan bunga api bernilai RM15,930

KUALA TERENGGANU: Kastam Diraja Malaysia (KDRM) Terengganu menahan tiga lelaki dan merampas 604kg mercun serta bunga api bernilai kira-kira RM15,930 melibatkan empat kes sepanjang minggu ini.

Pengarah Kastam negeri, Datuk Azis Yacub berkata nilai cukai rampasan mercun dan bunga api yang terlibat itu ialah sebanyak RM8,000.

"Kejayaan terbaru Kastam ialah semalam apabila sebuah kereta jenis Proton Waja yang sarat diisi dengan 281 kilogram bahan larangan itu berjaya ditahan di sebuah gerai di Pasar Borong Gong Pauh, di sini kira-kira pukul 11.30 malam," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya rampasan itu dianggarkan bernilai RM7,868, bagaimanapun, pemandu kereta berkenaan berjaya melarikan diri setelah mengesan kehadiran pihak berkuasa.

Beliau berkata pihak Kastam sedang mengesan pemilik kereta yang terlibat bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 135 (1) (d) Akta Kastam 1967 atas kesalahan menyimpan bahan-bahan larangan.

Azis berkata pada hari Selasa lepas Kastam berjaya merampas 20kg mercun dan bunga api bernilai RM487 dari sebuah rumah di Kg Kubang Bakong, Jalan Pulau Musang dan menahan seorang lelaki berumur 39 tahun bagi membantu siasatan.

Sehari sebelum itu, sebanyak 154kg bahan larangan itu telah dirampas di dalam semak di Lorong Belukar, Kg Seberang Baroh, Chabang Tiga di sini, kata Azis.

Katanya dalam satu sekatan jalan raya yang dilakukan oleh pihak Kastam pada Isnin lepas pihaknya berjaya merampas 149kg mercun dan bunga api bernilai RM3,725 yang diisi dalam sebuah kereta Perodua Viva kira-kira 1.20 pagi.

Turut ditahan dua lelaki yang berumur 40 tahun dan 22 tahun cuba melarikan diri dengan merempuh sekatan jalan raya. Azis berkata keduaduanya lelaki terbabit kemudiannya dibebaskan dengan ikat jamin sebelum dituduh di mahkamah.

Sehubungan itu, beliau mengingatkan orang ramai supaya tidak terlibat dengan aktiviti pengedaran, penjualan dan memiliki atau bermain mercun atau bunga api kerana ia merupakan satu kesalahan mengikut Seksyen 135 (1) Akta Kastam 1967.

Katanya jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak kurang 10 kali nilai barangan dan tidak lebih 20 kali nilai barangan atau penjara tiga tahun atau kedua-duanya sekali. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain