suria

MPMN serah memorandum bantahan kepada kedutaan Indonesia

KUALA LUMPUR: Majlis Perwakilan Mahasiswa Nasional (MPMN) Isnin mengemukakan memorandum bantahan kepada Kedutaan Indonesia di sini dan memohon kerajaan Indonesia-Malaysia mencari titik persefahaman bagi menjernihkan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

Memorandum itu diserahkan kepada Setiausaha Ketiga Jabatan Penerangan, Sosial dan Kebudayaan kedutaan itu, Soneta Asmara.

Pengerusi MPMN Hisyamuddin Che Ali berkata permintaan itu merupakan antara enam perkara terkandung dalam memorandum tersebut.

Beliau berkata kerajaan Indonesia perlu mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau kumpulan yang terlibat dalam usaha mengeruhkan hubungan dua hala yang baik antara Malaysia dan Indonesia.

"Kedua-dua negara perlu berbincang mencari titik persefahaman selain peranan penting yang perlu dimainkan oleh kedua-dua pemimpin tertinggi negara (Perdana Menteri Malaysia dan Presiden Indonesia) dalam memulihkan hubungan antara kedua-dua negara," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum bantahan berkenaan.

Beliau turut meminta media Indonesia berhenti mensensasikan isu yang boleh mengeruhkan hubungan Malaysia-Indonesia selain melaporkan isu-isu ini secara telus dan bertanggungjawab.

"Memorandum ini juga mahu perundingan dilakukan secara baik termasuk menggunakan saluran undang-undang jika perlu bagi memulihkan hubungan kedua-dua negara," katanya.

Hisyamuddin berkata pihaknya menggesa perbincangan dua hala menerusi forum dan dialog terbuka bukan sahaja di peringkat tertinggi dan diplomatik tetapi turut membabitkan pemimpin masyarakat dalam parti politik, badan bukan kerajaan (NGO), golongan ahli perniagaan, tokoh intelek dan gerakan mahasiswa.

"Kami juga mahu kerajaan Indonesia menjaga keselamatan mahasiswa Malaysia yang menuntut di negara itu dan kerjasama semua pihak dalam memulihkan semula hubungan baik antara kedua-dua negara ini," katanya.

Soneta ketika ditemui semasa majlis berbuka puasa Kedutaan Indonesia bersama media Malaysia dan Indonesia mengesahkan menerima memorandum tersebut dan memberi jaminan pihak kedutaan akan meneliti dan mempertimbangkan tuntutan itu. BERNAMA

Artikel Lain