suria

Manusia Lwn Buaya - Ala Australia...

SEORANG teman yang baru pulang dari Australia telah menelefon saya. Dia baru sahaja menyertai satu ekspedisi menjejaki buaya sepanjang 17 kaki (5 meter) dan seberat satu ton iaitu menyamai berat sebuah kereta.

Dia di sana untuk mempelajari bagaimanakah Kerajaan Australia berusaha untuk mengharmonikan kewujudan manusia dan buaya agar mereka boleh tinggal bersama sebagai jiran walaupun usaha tersebut masih belum dapat diterima secara total oleh masyarakat luar bandar di negara itu.

Australia dan buaya memang tidak dapat dipisahkan. Mereka menjadi terkenal menerusi filem popular Crocodile Dundee. Australia juga merupakan salah sebuah negara yang memiliki populasi buaya yang paling banyak di dunia.

Menurut laporan majalah Time, November tahun lalu, dianggarkan terdapat lebih 100,000 ekor buaya di Australia - kebanyakkan di wilayah Utara negara itu.

Dan yang paling menakutkan, buaya Australia semuanya besar-besar belaka. Spesis buaya air masin Australia boleh membesar sehingga 6 meter panjang dan melebihi berat satu ton.

Menurut kawan saya ini, suatu ketika dahulu, apabila buaya air masin Australia menganas dan membaham manusia, penduduk kampung akan melancarkan gerakan mencari sampai dapat.

Dan di dalam proses tersebut, mereka akan menembak setiap buaya yang mereka temui, memburaikan perut buaya itu untuk mencari mayat mangsa dan kemudian mengebumikan mangsa mengikut adat dan agama.

Tetapi katanya, suasana telah berubah. Hari ini, dalam sebuah negara yang semakin menitik beratkan perlindungan ke atas alam sekitar dan spesis terancam sepertimana buaya air masin ini, pihak berkuasa Australia telah memperkenalkan pendekatan baru dan tidak semua pihak gembira dengan pendekatan ini.

Ini kerana buaya air masin Australia bukan sahaja sangat licik tetapi dianggap oleh penduduk Utara Australia sebagai pembaham manusia.

Spesis ini akan menyembunyikan diri di celah-celah rumput berpaya bagaikan kayu mati dan sanggup kekal kaku berjam-jam lamanya untuk membaham mangsa.

Buaya ini pernah membaham mangsa seperti kuda dan lembu malah manusia dengan mengigit mangsa lalu menguling-gulingkan diri di dalam air sampai mangsa menjadi lemas dan mati.

Keganasan buaya ini tidak dapat diterima oleh para peneroka dan penduduk awal Australia. Mereka menembak buaya sebaik sahaja makhluk itu menonjolkan diri.

Pemburuan buaya di Australia kemudiannya bertukar menjadi satu industri apabila kulitnya menjadi popular dan mendapat permintaan yang tinggi.

Pada tahun 1971, khuatir akan pemburuan ke atas buaya air masin akan menyebabkan kepupusannya, kerajaan Australia telah mengharamkan pemburuan.

Namun begitu, debat mengenai manusia dan buaya di Australia muncul semula pada September tahun lalu apabila Arthur Booker yang berusia 62 tahun menjadi mangsa buaya air masin di kawasan berpaya Sungai Endeavour berhampiran pekan Cooktown di Wilayah Queensland ketika sedang menangkap ketam.

Pihak berkuasa Queensland segera menghantar satu pasukan 24 ranger hidupan liar untuk menangkap setiap ekor buaya yang disyaki sebagai berpotensi mengganas di sekitar Sungai Endeavour dan juga menjejaki mayat Arthur.

Mereka akhirnya berjaya menangkap tiga ekor buaya yang disyaki membaham Arthur. Tetapi ranger Queensland tidak membunuh buaya-buaya tersebut.

Sebaliknya mereka memindahkan buaya-buaya ini ke dalam treler dan kemudian mengangkut spesis ini ke sebuah bandar bernama Cairns yang terletak 260 kilometer dari Cooktown.

Dan di sinilah kontroversi dan perdebatan tentang masa depan manusia dan buaya di Australia bermula.

Buaya-buaya yang diangkut ke Cairns itu di x-ray malah menjalani proses endoskopi iaitu satu kamera dimasukkan ke dalam badan buaya untuk melihat sama ada mayat Arthur ada di dalam perut atau tidak.

Ketua Hidupan Liar Wilayah Queensland, Mike Devery yang dikritik hebat kerana mengarahkan pengendalian operasi yang berkos tinggi itu mempertahankan keputusannya dengan alasan buaya air masin Australia tersenarai dalam hidupan liar yang dilindungi oleh Akta Konservasi Semulajadi Australia yang menyatakan mana-mana buaya yang mencapai 4 meter panjang adalah lambang ikonik Australia.

Maka buaya-buaya ini tidak boleh dibunuh. Ini telah menimbulkan kemarahan penduduk Utara Australia yang berhadapan dengan bahaya dibaham buaya akibat daripada undang-undang baru ini.

Salah seorang yang membantah perlindungan ke atas buaya air masin ialah seorang ahli Parlimen Australia bernama Bob Katter yang mempunyai ladang lembu di Utara Australia dan duduk berjiran dengan sang buaya.

Beliau dengan lantang bersuara “Satu-satunya masa yang saya ingin lihat sang buaya ialah di penghujung rifel saya...” Katter menuduh Kerajaan Australia sanggup mengorbankan keselamatan rakyat dan mengutamakan keselamatan buaya-buaya.

“Dahulu jika seekor buaya membaham manusia, datuk nenek saya akan membunuh semua buaya yang terdapat di kawasan berkenaan tetapi hari ini mereka memberi layanan kelas pertama kepada sang buaya dengan melakukan x-ray sedangkan ada pesakit di hospital terpaksa menunggu berhari malah berminggu-minggu untuk menjalani x-ray,” kata Katter lagi.

Menurut kawan saya, begitulah ironinya situasi di sebuah negara yang terperangkap dalam situasi mana lebih penting, manusia kah atau spesis terancam kah.

Dan beliau tidak pasti apakah undang-undang seumpama itu boleh dilaksanakan di Malaysia di mana sentimen kebencian dan ketakutan ke atas buaya masih tidak dapat dibendung terutamanya di Sarawak.

ROZAID A. RAHMAN pernah menyertai pelbagai ekspedisi melihat hidupan liar di dalam dan luar negara tetapi beliau alergik kepada buaya.

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain