suria

Pembunuhan cinta tiga segi: Bekas polis dihukum gantung

PUTRAJAYA: Seorang bekas anggota polis menghadapi hukuman gantung selepas Mahkamah Persekutuan mengubah keputusan pembebasannya kerana membunuh seorang ahli perniagaan Pakistan 13 tahun lalu dalam satu kes yang dikatakan membabitkan lebih daripada cinta tiga segi.

Selepas dibebaskan hampir lima tahun apabila Mahkamah Rayuan mengubah sabitan Mahkamah Tinggi, bekas Lans Koperal Harcharan Singh, 45, kini menghadapi hukuman gantung.

Ketua Hakim Negara Tan Sri Zaki Tun Azmi yang mengetuai panel mengandungi HakimHakim Mahkamah Persekutuan Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin dan Datuk Gopal Sri Ram dalam keputusan sebulat suara mengarahkan Harcharan, dihantar ke penjara dengan serta merta untuk dilaksanakan hukuman itu.

Harcharan yang duduk di galeri awam kelihatan tenang selepas Hakim Zaki membacakan keputusan.

Hakim Zaki berkata mahkamah membuat keputusan itu selepas mempertimbang dengan teliti kes itu dan memaklumkan bahawa asas penghakiman bertulis akan diberikan tidak lama lagi.

"Kami memutuskan untuk membenarkan rayuan. Perintah pembebasan diketepikan dan perintah Mahkamah Tinggi dikembalikan," katanya sambil menambah bahawa peguam bela Karpal Singh yang mewakili Harcharan perlu menulis kepada Lembaga Pengampunan mengenai keputusan hari ini.

Selepas keputusan itu, Karpal memberitahu media bahawa beliau akan menulis satu petisyen kepada Lembaga Pengampunan Selangor kerana kesalahan itu dilakukan di Selangor, supaya hukuman mati dipinda kepada penjara.

Karpal berkata semasa prosiding, Sultan akan mengetuai lembaga dan baginda akan dibantu beberapa anggota termasuk Peguam Negara atau Penasihat Undangundang dalam kamar Peguam Negara. Bagaimanapun, perayu tidak berhak diwakili.

Pihak pendakwaan membuat rayuan terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 12 ogos, 2004 yang yang membatalkan sabitan bagi pembunuhan Shaikh Abdul Rub Samdani Siddiqi.

Pada 15 November, 2000, Mahkamah Tinggi Shah Alam mensabitkan Harcharan dan sepupunya Jasber Singh kerana membunuh Shaikh Abdul Rub, di sebuah rumah di Taman Desa Aman, Sungai Buloh, Selangor pada 10.30 malam pada 1 Mac, 1996.

Bagaimanapun, selepas dibebaskan oleh Mahkamah Rayuan, Jasber, 39, seorang warga negara India, melarikan diri dan pihak pendakwaan gagal untuk mengesannya.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Wira Low Hop Bing (sekarang Hakim Mahkamah Rayuan) dalam keputusan menjatuhkan hukuman mati ke atas keduadua lelaki itu memutuskan bahawa "keseluruhan episod dalam kes ini adalah kemuncak hubungan cinta yang merupakan lebih daripada cinta tiga segi atau perangkap yang membawa kepada hubungan luar nikah dan akibatnya pembunuhan si mati di mana mayatnya diusung dan dicampakkan ke gaung, dan ditemui oleh penduduk berdekatan dan pasukan penyiasat polis akhirnya".

Bukti yang ditunjukkan pada perbicaraan itu menunjukkan bahawa pada hari pembunuhan itu, mereka bertengkar dengan si mati berhubung percubaannya untuk mengadakan hubungan seks dengan isteri Harcharan dan gangguan yang berterusan terhadap adik Jasber.

Seorang rakan yang bersubahat, yang menjadi saksi utama pendakwaan, Konstabel Gurmit Singh memberi keterangan bahawa beliau nampak Harcharan memegang sebatang kayu, menyumpah si mati (yang telahpun tersembam di lantai, dengan mukanya menelungkup) dalam perkataan Punjabi,"Tu Ney Mere Zindagi Bardad Karte" (Anda telah memusnahkan hidup saya), "Tu Ney Mere Ghar Barbad Kardid Ta (Anda telah memusnahkan keluarga saya) dan Tu Ney Meray Aufar Nu Makiah (Anda telah menyakiti isteri saya). Gurmit juga memberitahu mahkamah bahawa beliau nampak Jasber datang ke bilik itu dengan seutas tali untuk menjerut leher si mati selepas Harcharan menyumpah dan mengutuk si mati.

Katanya beliau nampak Harcharan menarik di bahagian hujung tali manakala Jasber di bahagian hujung yang lain. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain