suria

Permohonan kerajaan batalkan saman Chin Peng 30 Sept

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi akan mendengar permohonan kerajaan Malaysia pada 30 Sept untuk membatalkan saman fitnah ke atasnya oleh bekas pemimpin Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng dan anggota pertubuhan yang sudah tidak wujud itu.

Jika mahkamah menolak permohonan kerajaan itu, mahkamah akan terus mendengar merit saman itu pada hari yang sama.

Kes itu dibawa untuk pengurusan kes di hadapan Penolong Kanan Pendaftar Kanan Nazri Ismail di dalam kamar tengah hari ini di mana Nazri juga menetapkan 10 Sept bagi kes pengurusan seterusnya bagi membolehkan Chin Peng mengemukakan dokumen yang dipersetujui berhubung perkara itu.

Peguam Kanan Persekutuan Amarjeet Singh dan Peguam Persekutuan Wan Roslan Wan Ismail mewakili kerajaan manakala Chin Peng diwakili peguam Chan Kok Keong.

Chin Peng, atau nama sebenar Ong Boon Hua, 85, telah memfailkan saman bagi pihak dirinya dan pengikutnya bagi menuntut pengisytiharan bahawa perjanjian yang ditandatangani antara Kerajaan Malaysia dan PKM untuk menamatkan permusuhan pada 1989 dan aturan pentadbiran masih sah, boleh dikuatkuasakan dan mengikat ke atas kerajaan.

Beliau mendakwa syarat-syarat di dalam perjanjian itu adalah bahawa PKM bersetuju untuk menghentikan semua kegiatan bersenjata dan juga antara lain bersetuju bahawa sebarang kenyataan media yang dikeluarkan kedua-dua pihak, Kerajaan dan Chin Peng tidak boleh mengandungi syarat-syarat bersifat fitnah. Dalam tuntutannya, Chin Peng menuntut ganti rugi dan injunksi bagi menghalang Kerajaan Malaysia atau ejen-ejennya daripada mengeluarkan pernyataan fitnah mengenai dia dan anggota-anggotanya.

Saman itu difailkan berikutan laporan pada 21 Mac 2005 dan 6 Mei 2005 bahawa Timbalan Menteri Penerangan pada masa itu Datuk Zainuddin Maidin telah mengumumkan bahawa Radio Television Malaysia akan menyiarkan dokumentari mengenai kekejaman komunis selepas Perang Dunia Kedua dan selepas satu dekad Malaysia mencapai kemerdekaan.

Dalam pernyataan pembelaannya, kerajaan berkata bahawa dari aspek sejarah dan pengetahuan orang ramai dan reputasi Chin Peng dan lain-lain anggota partinya telah pun terjejas pada kaca mata orang ramai selama ini.

Kerajaan mendakwa bahawa mereka tidak melanggar perjanjian dan kenyataan yang didakwa disebut oleh Zainuddin "adalah benar dan merupakan fakta sejarah".

Chin Peng, dilahirkan di Sitiawan, Perak, kini tinggal di Thailand dan telah memilih Mahkamah Malaysia untuk kembali menetap di Malaysia.

Bagaimanapun, dia gagal dalam usaha terakhir untuk menetap di Malaysia selepas Mahkamah Persekutuan pada 30 April mengekalkan keputusan dua mahkamah rendah yang memaksanya menunjukkan dokumen pengenalan sebelum dibenarkan memasuki negara ini. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain