suria

Penduduk Malaysia masih jahil mengenai penyebaran HIV

PETALING JAYA: Masih wujud banyak salah tanggapan mengenai cara penyebaran jangkitan HIV di Malaysia walaupun pelbagai program kesedaran dijalankan oleh kerajaan dan badan bukan kerajaan (NGO), menurut satu kajian.

Umumnya ia dikaitkan dengan ciuman, berkongsi makanan, tandas awam, kolam renang awam dan sentuhan, kata ahli psikologi Universiti Malaya Prof Low Wah Yun, yang menjalankan kajian itu bersamasama dua rakan setugasnya.

"Adalah penting salah tanggapan ini dihapuskan bagi mengurangkan stigma dan diskriminasi," katanya kepada Bernama di sini.

Oleh yang demikian, beliau berkata media massa boleh memainkan peranan penting dengan memaparkan isu-isu sukar seperti cara bagaimana untuk menolak ajakan mengadakan hubungan seks yang tidak diingini dan penggunaan kondom.

Low juga berkata jumlah kes HIV melalui hubungan heteroseksual mencatatkan peningkatan di negara ini kerana fakta menunjukkan kebanyakan lelaki Malaysia keberatan menggunakan kondom.

Beliau turut menonjolkan risiko dijangkiti HIV di kalangan remaja yang tidak mengamalkan seks selamat.

"Di seluruh dunia, lebih 50 peratus jangkitan baru HIV membabitkan mereka yang berumur antara 10 dan 24 tahun. Setiap hari lebih 7,000 golongan muda dijangkiti HIV," katanya.

Low berkata walaupun Kementerian Kesihatan telah menjalankan program "Prostar" yang bertujuan meningkatkan pengetahuan golongan muda mengenai HIV/AIDS, kajian itu mendapati masih terdapat sebahagian besar remaja yang tidak tahu mengenai program itu.

Beliau mencadangkan program itu diperluaskan khususnya bagi remaja lepasan sekolah dan pekerja kilang yang masih muda.

Katanya pendidikan rakan sebaya merupakan cara yang efektif bagi menarik golongan muda menyertai usaha pencegahan dan penjagaan HIV.

Mengenai peningkatan ancaman ketagihan kepada laman web seks di internet, beliau berkata kegiatan seks secara dalam talian dan maya adalah satu revolusi seksual kerana ia membabitkan perasaan ingin tahu yang membawa kepada penglibatan secara keterlaluan.

Untuk membendung isu sosial ini, perlu diwujudkan perkhidmatan kesihatan mengenai reproduktif dan seksual yang mesra remaja yang berlandaskan kerahsiaan dan kepercayaan dan bukan untuk membuat penghakiman, katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain