suria

Isu kuil: Sesi dialog bersama penduduk Seksyen 23 gagal, penempatan semula kuil ditunda

SHAH ALAM: Menteri Besar Selangor Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata kerajaan negeri menangguhkan dan akan mengkaji semula cadangan memindahkan Kuil Sri Maha Mariamman dari Seksyen 19 ke Seksyen 23.

Pendekatan itu diambil setelah beliau sendiri mendengar rintihan dan bantahan yang dikemukakan penduduk kawasan itu semasa dialog mengenai isu itu berlangsung di sini hari ini, katanya pada sidang akhbar selepas dialog itu selesai.

Turut hadir dalam sesi dialog itu ialah Exco kerajaan negeri yang juga anggota Dewan Undangan Negeri Batu Tiga, Rodziah Ismail, anggota Parlimen Shah Alam Khalid Abdul Samad, Datuk Bandar Shah Alam Mazalan Md Noor dan Pengurus Besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor Othman Omar.

Namun begitu, beliau berkata pemindahan kuil dari Seksyen 19 yang terletak berhampiran kawasan penempatan akan diteruskan kerana isu itu telah berlarutan hampir 20 tahun dan ia perlu diselesaikan dengan mencari tapak lain yang sesuai.

"Ini bukan senang, langkah seterusnya kita akan berbincang dengan PKNS (bagi mencari) satu tempat yang sesuai dengan Jawatankuasa Kuil Seksyen 19 dan penduduk sekitar yang bakal terlibat. Ia perlu dilakukan segera, pemindahan kuil perlu diselesaikan, kalau tidak jadi isu antara penduduk," katanya.

Bahkan semasa dialog itu berlangsung Abdul Khalid berkata kerajaan negeri masih belum membuat keputusan muktamad mengenai pemindahan kuil itu dari Seksyen 19 ke Seksyen 23.

Beliau berkata:"Kita akan terima beberapa cadangan... cadangan ini boleh dilaksanakan bila kedua-dua pihak bersetuju."

Mulai sekarang tidak akan ada lagi perbincangan untuk memindahkan kuil di Seksyen 19 ke Seksyen 23, katanya semasa keadaan menjadi gamat seketika apabila seorang wakil daripada 48 penduduk India di situ, Gunaretinam Rajan, 27, mula memberikan pandangannya mengenai toleransi kaum India dengan laungan azan yang didengarnya lima hari sekali.

Beliau berkata masyarakat India merasa terguris dengan isu itu kerana ke manakah lagi mereka hendak mendirikan kuil untuk beribadat kerana di Shah Alam, kebanyakan kawasan majoriti penduduknya adalah Melayu.

Bagaimanapun, keadaan tegang itu dapat dikawal penguatkuasa Majlis Bandaraya Shah Alam bagi memastikan tiada kejadian tidak diingini berlaku semasa sesi dialong itu berlangsung.

Mazalan pula berkata antara punca pihak Ahli Jawatankuasa Kuil tidak bersetuju dengan tapak kuil di Seksyen 22 yang ditetapkan oleh kerajaan sebelum ini kerana lokasinya terletak enam kilometer dari tapak asal dan tiada kawasan perumahan berhampiran.

Abdul Khalid berkata kerajaan negeri prihatin dengan pandangan masyarakat Melayu yang tidak mahu kuil itu dibina berhampiran penempatan mereka dan juga pandangan penganut Hindu yang memerlukan satu kawasan beribadat berhampiran kediaman mereka.

Beliau memberikan jaminan jalan penyelesaian yang sesuai akan diambil. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain