suria

Geng Ah Long pukul, rantai peminjam ditahan di pusat pemulihan

KUALA LUMPUR: Seramai tujuh lelaki anggota sindiket kumpulan Ah Long K9 (Kristal 9) yang ditahan sejak 27 Mei lepas kerana menggunakan taktik kekerasan untuk mendapatkan balik pinjaman seperti memukul dan merantai peminjam dikenakan tahanan di Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) di Kelantan dan Johor bermula semalam.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor Datuk Hasnan Hassan berkata lima orang anggota sindiket itu dikenakan tahanan di PPA Machang, Kelantan, manakala dua lagi dikenakan tahanan di PPA Simpang Renggam, Johor.

"Kesemua mereka ditahan selama dua tahun sejak semalam," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata penahanan itu dilakukan selepas mendapat perintah tahanan daripada Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein semalam.

Katanya sehingga kini polis telah berjaya mendedahkan penglibatan mereka dalam 19 kes jenayah dan polis masih berusaha mengesan lima lagi suspek utama daripada kumpulan itu yang masih bebas.

"Pihak polis menyeru kepada orang ramai yang pernah menjadi mangsa Ah Long untuk tampil membantu polis dalam menjalankan siasatan," katanya.

Katanya tahap kekerasan yang digunakan telah mengganggu ketenteraman awam dan pihak polis telah mengambil tindakan di bawah undangundang pencegahan Seksyen 3(1) Ordinan Darurat 5/69 bagi menghalang kumpulan ini daripada terus melakukan jenayah kekerasan.

Dalam kejadian 27 Mei lepas, tiga lelaki ditemui dikurung dalam bilik sebuah unit kedai di kawasan perindustrian Bukit Serdang dekat sini yang diikat dengan rantai di leher, tangan dan kaki seperti haiwan hanya kerana gagal membayar hutang yang mereka pinjam daripada Ah Long. BERNAMA

Artikel Lain