suria

Ketua 'Geng Datuk ' ditahan di Mukah

MIRI:Polis berjaya melumpuhkan "Geng Datuk" dengan tertangkapnya perancang utama kumpulan perompak bersenjata itu dan seorang anggota kumpulan di Mukah dan Miri semalam.

Ketua Polis Daerah Miri, ACP Jamaludin Ibrahim berkata ketua kumpulan itu berusia 31 tahun ditahan di Mukah manakala rakannya berusia 28 tahun ditahan di sini selepas ditembak ketika cuba melarikan diri.

Sebelum ini, polis telah menahan tiga anggota kumpulan tersebut yang aktif sejak 2004 di beberapa bahagian di negeri ini, katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Jamaludin berkata kumpulan tersebut dipercayai terbabit dalam sekurang-kurangnya enam kes rompakan bersenjata dengan kerugian melebihi RM200,000.

Dalam kejadian di sini semalam, polis telah menemui sepucuk pistol dengan empat butir peluru jenis .22, dua bilah parang panjang dan sebatang paip besi dalam kereta yang dinaiki oleh suspek.

Katanya ketika polis cuba mendekati suspek pada pukul 2.25 petang semalam, suspek bertindak mengundurkan kereta untuk cuba merempuh pasukan polis dan polis terpaksa melepaskan tembakan ke arah suspek.

"Suspek mengalami kecederaan di bahagian dada dan dihantar ke Hospital Miri untuk mendapatkan rawatan," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain