suria

Lelaki mati ditetak tiga penyerang malam ambang Merdeka

JOHOR BAHARU: Seorang lelaki mati ditetak selepas gagal melarikan diri daripada tiga penyerangnya dalam satu pergaduhan di Jalan Harimau di Taman Century di sini kelmarin.

Dalam kejadian pada 10.30 malam itu Chia Kah Wai, 25, dari Jemaluang, Mersing dipercayai cuba melarikan diri dengan memasuki sebuah restoran di Jalan Beruang, 200 meter dari tempat bermulanya pergaduhan.

"Di dalam premis berkenaan mangsa telah ditetak beberapa kali di kepala, badan dan tangan," kata Ketua Polis Daerah Johor Baharu Selatan, ACP Zainuddin Yaacob.

Seorang pelanggan restoran berusia 47 tahun turut cedera selepas ditetak di belakang kepala.

Chia yang cedera parah terus cuba melarikan diri sebelum terjatuh ke dalam longkang sedalam satu meter kira-kira 50 meter dari restoran itu.

Mayat mangsa dihantar ke Hospital Sultanah Aminah untuk bedah siasat manakala pelanggan restoran yang cedera dihantar ke hospital yang sama untuk mendapatkan rawatan.

Siasatan awal polis mendapati tiga suspek berusia dalam lingkungan 20an di mana dua daripadanya memakai jaket hitam dan bertopi manakala seorang lagi memakai baju T berwarna putih.

Kesemua suspek yang bersenjatakan parang melarikan diri menggunakan sebuah kereta Toyota Vios berwarna biru.

Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh.

Zainuddin meminta orang ramai yang menyaksikan kejadian berkenaan supaya menghubungi hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Baharu Selatan di talian 072218999 atau manamana balai polis berhampiran bagi membantu siasatan. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain