suria

Isu kuil: Selangor disaran cari penyelesaian segera

PULAU PINANG: Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon menyaran agar kerajaan negeri Selangor segera mencari penyelesaian terhadap isu pemindahan pembinaan kuil Hindu di Seksyen 23 Shah Alam.

Beliau yang juga Presiden Gerakan berkata, isu yang berkaitan dengan sensitiviti agama perlu diselesaikan dengan cara yang bijak agar tidak menimbulkan kerumitan pihak yang berkenaan.

"Semua pihak harus memikirkan kaedah yang sesuai dan tidak menggunakan pendekatan yang boleh melukakan hati manamana pihak," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Mesyuarat Tahunan Gerakan Pulau Pinang di sini hari ini.

Koh diminta mengulas tindakan 50 penunjuk perasaan yang berkumpul di pintu masuk Bangunan Sultan Abdul Aziz Shah kelmarin bagi membantah pemindahan kuil ke Seksyen 23 itu.

Kumpulan berkenaan mendakwa penduduk di Seksyen 23 membantah pemindahan kuil yang kini terletak di Seksyen 19 ke kawasan perumahan mereka.

Mereka turut mengarakkan kepala lembu ke bangunan Setiausaha Kerajaan Selangor itu. Koh berkata walaupun suasana berbeza tetapi sikap penunjuk perasaan yang terlibat dengan insiden itu tetap sama iaitu seperti rusuhan agama yang berlaku di Kampung Rawa, Pulau Pinang 11 tahun lepas.

Beliau berkata insiden yang berlaku itu juga telah melanggar prinsip Rukun Negara dan semangat 1Malaysia yang menjadi gagasan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

"Sekiranya tidak setuju dengan sesuatu perkara seharusnya dilakukan dengan cara yang lebih elok seperti menulis surat atau bermesyuarat," katanya.

Dalam pada itu, Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu, Tan Sri Bernard Dompok turut sedih dan kesal dengan tindakan sekumpulan penunjuk perasaan mengarak kepala lembu sebagai membantah cadangan penempatan semula kuil Hindu di Seksyen 23, Shah Alam.

Beliau yang juga Menteri Perusahaan, Peladangan dan Komoditi berkata, tindakan keterlaluan itu jelas menunjukkan sikap segelintir rakyat yang tidak peka mengenai sensitiviti agama lain.

Katanya, tindakan itu juga boleh mencetuskan ketengangan antara kaum sekaligus bercanggah dengan saranan dan konsep 1Malaysia yang dicetuskan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Abdul Razak.

"Sensitiviti mesti berlaku dalam negara ini kerana kita mempunyai bukan sahaja agama Islam sebagai agama rasmi tetapi juga agama lain," katanya kepada pemberita selepas mengetuai majlis kesyukuran sempena kemerdekaan negara ke-52 oleh penganutpenganut agama Kristian di Gereja St John's, Kuala Lumpur hari ini.

Bernard berharap insiden yang menghina kaum lain itu tidak berlaku lagi di masa depan dan meminta semua kaum di negara ini berhatihati dalam isu membabitkan agama dengan mengamalkan sikap kesederhanaan.

"Insiden seperti ini tidak baik untuk imej negara kita kerana kita mahu semua penduduk negara ini bersatu padu," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain