suria

MIC bukan parti berasaskan kasta, kata Subramaniam

SHAH ALAM: Setiausaha Agung MIC Datuk Dr S.Subramaniam menggesa Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein supaya mengambil tindakan terhadap sebuah akhbar harian berbahasa Inggeris kerana menjadikan MIC dilihat seperti sebuah parti berasaskan kasta.

"Saya telah pun menyerahkan sepucuk surat bertarikh semalam (26 Ogos) kepada Menteri Dalam Negeri untuk beliau mengambil apa jua tindakan sewajarnya terhadap akhbar berkenaan. Artikel yang disiarkan itu sangat nakal kerana ia mengguris perasaan individu tertentu," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas melawat Akademi Kulinari Asean yang dimiliki oleh Millennium Skill Training Academy Sdn Bhd dekat sini hari ini.

Pada Isnin lepas, akhbar itu menyiarkan artikel bertajuk "MIC battles caste politics" berkisar mengenai kewujudan politik kasta dalam parti itu, diiringi grafik yang menggambarkan pemimpin daripada pelbagai kasta dalam parti itu yang bersaing merebut jawatan dalam pemilihan parti 12 Sept ini.

Sementara itu, Subramaniam, yang juga Menteri Sumber Manusia berkata lebih ramai belia India akan dilatih menjadi chef bagi mengatasi kekurangan yang berlaku sekarang.

Beliau berkata kementeriannya telah pun memperkenalkan program latihan baru berkaitan kulinari dan menggesa belia India terutamanya yang masih menganggur supaya mendaftarkan diri bagi menyertai program latihan berkenaan.

"Kerja sudah terjamin dan mereka akan memperoleh gaji yang memuaskan," katanya, sambil menambah kementeriannya mahu mengurangkan jumlah tukang masak dari India secara berperingkat, terutamanya di restoran India. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain