suria

Hanya 1 nombor untuk berurusan dengan kerajaan

KUALA LUMPUR: Pemudah, pasukan petugas khas negara bagi mempermudah semua aspek penyelesaian urusan di Malaysia, memperkenalkan rujukan satu nombor tunggal yang dipanggil MyCoID.

Sebagai permulaan, mulai 1 Julai, rujukan nombor tunggal itu digunakan bagi lima agensi, iaitu Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), Tabung Pembangunan Sumber Manusia (HRDF), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), Kastam Diraja Malaysia (KDRM) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Semua agensi lain akan menggunakan nombor rujukan ini secara berperingkat, demikian menurut satu kenyataan yang dikeluarkan oleh sektretariat Pemudah.

MyCoID adalah nombor pengenalan entiti perniagaan yang digunakan bila berurusan dengan agensi-agensi kerajaan.

Ia merupakan nombor pendaftaran perniagaan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) bagi syarikat, pemilik tunggal dan perkongsian.

"Perniagaan baru yang mendaftar dengan SSM mulai 1 Julai, 2009, boleh menggunakan MyCoID apabila mendaftar dengan kelima-lima agensi ini, iaitu LHDN, HRDF, KWSP, KDRM dan Perkeso," kata sektretariat itu.

"Syarikat-syarikat sedia ada (yang mendaftar sebelum 1 Julai, 2009) boleh menggunakan nombor pendaftaran masing-masing sebagai MyCoID bila berurusan dengan LHDN, KWSP dan HRDF mulai 1 September, 2009. Bagaimanapun, bagi KDRM dan Perkeso, syarikat-syarikat ini hanya boleh menggunakan nombor pendaftaran SSM masing-masing sebagai MyCOID mulai 1 Januari, 2010," katanya.

Pelaksanaan penuh MyCoID oleh kelima-lima agensi itu dijangka bermula pada 1 Januari tahun depan.

MyCoID akan menggantikan semua nombor pengenalan lain yang disyaratkan bagi perniagaan apabila berurusan dengan agensi-agensi kerajaan yang berlainan, kata sekretariat itu.

Pada peringkat permulaan, kecuali bagi pembayaran, MyCoID boleh digunakan oleh perniagaan baru bagi semua perkhidmatan lain di kelima-lima agensi itu , katanya.

Bagaimanapun, ini terhad kepada perkhidmatan-perkhidmatan di kaunter dan melalui telefon, jelasnya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Berikut

Artikel Lain