suria

Inkues Teoh: Mahkamah arah siasatan terhadap 4 dokumen, rakaman

SHAH ALAM: Mahkamah Koroner hari ini mengarahkan supaya satu siasatan dijalankan terhadap empat dokumen dan rakaman percakapan pembantu politik seorang exco Selangor, Teoh Beng Hock semasa disoal siasat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor pada 16 Julai lepas.

Malah Koroner Azmil Muntapha Abas turut memerintahkan Pegawai Penyiasat, ASP Ahmad Nazri Zainal supaya merakam keterangan saksi ke-16, Mohd Anuar Ismail yang merupakan pegawai penyiasat bagi kes siasatan SPRM.

Empat dokumen yang diarah untuk disiasat tersebut ialah sebut harga dari empat syarikat kontraktor Kelas F bumiputera yang dicetak dari komputer riba milik Teoh berhubung tuntutan bagi pihak Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan, Ean Yong Hian Wah.

Keputusan itu dibuat berdasarkan permohonan yang dikemukakan oleh peguam pemerhati SPRM, Datuk Abdul Razak Musa.

Peguam semua pihak bersetuju dengan permohonan tersebut.

Abdul Razak sebelum itu dalam permohonannya berkata isu berhubung rakaman percakapan Teoh semasa proses soal siasat dijalankan oleh pihak SPRM merupakan isu baru dalam siasatan polis prosiding inkues ini.

"Saya mohon supaya pegawai penyiasat ambil tindakan lanjut berkaitan dokumen yang ditunjukkan bersama dengan rakaman percakapan si mati untuk disiasat sama ada relevan dengan punca kematian si mati.

"Pohon koroner arahkan pegawai penyiasat untuk siasat terhadap hasil siasatan SPRM yang melibatkan mangsa sahaja," katanya.

Dalam pada itu, peguam yang mewakli keluarga Teoh, Gobind Singh Deo mencadangkan kepada mahkamah supaya membenarkan peguam Ean hadir mengikuti prosiding apabila isu rakaman percakapan dibangkitkan di mahkamah nanti.

"Saya telah menghubungi YB (Yang berhormat) Ean dan memaklumkan kepadanya mengenai perkembangan terbaru ini.

"Saya dimaklumkan beliau (Ean) memerlukan sedikit masa untuk peguamnya hadir mewakili beliau ketika isu (rakaman percakapan) dibangkitkan di mahkamah nanti.

"Pada pendapat saya memandangkan isu yang akan dibangkitkan melibatkan Teoh dalam kapasitinya sebagai setiausaha politik Ean, maka demi keadilan lebih elok jika beliau (Ean) diberi peluang untuk diwakili peguam," katanya.

Permintaan Gobind itu disokong oleh peguam pihak kerajaan Selangor, Malik Imtiaz Sarwar.

Artikel Lain