suria

Mahkamah Persekutuan: Penduduk mesti kosongkan Kg Buah Pala

PUTRAJAYA: Mahkamah Persekutuan pada Jumaat mengekalkan keputusannya pada 24 Jun bahawa penduduk Kampung Buah Pala di Pulau Pinang mesti mengosongkan rumah mereka dan menyerahkan hartanah itu kepada pemaju yang memperoleh kebenaran untuk memajukan kawasan itu.

Permohonan kedua bagi kebenaran merayu yang dikemukakan penduduk berkenaan ditolak sebulat suara dengan kos oleh Hakim Besar Malaya Tan Sri Arifin Zakaria, Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Zulkefli Ahmad Makinudin dan Hakim Mahkamah Rayuan Datuk Raus Md Raus.

Sebanyak 45 keluarga itu memohon kebenaran untuk merayu terhadap keputusan Mahkamah Rayuan pada 11 Mei lepas bahawa penduduk berkenaan adalah penceroboh di kawasan penempatan itu dan memerintahkan mereka mengosongkan tanah itu.

Para responden -- Koperasi Pegawai Kerajaan Negeri Pulau Pinang Berhad, pemaju Nusmetro Venture (P) Sdn Bhd dan Pentadbir Tanah Daerah Timur Laut Pulau Pinang -- berhujah bahawa permohonan hari ini adalah pertindihan kepada permohonan kebenaran yang pertama dan adalah melanggar proses mahkamah kerana ini merupakan litigasi sekali lagi bagi isu yang sama yang telahpun dihujahkan dan diputuskan oleh Mahkamah Persekutuan pada 24 Jun.

Arifin memutuskan persoalan yang penduduk berkenaan mahu Mahkamah Persekutuan tentukan -- sama ada mereka mempunyai locus standi (daripada segi undang-undang) untuk memulakan prosiding terhadap koperasi dan pemaju -- tidak boleh dibangkitkan di mahkamah tertinggi itu kerana isu itu tidak pernah dibangkitkan di mahkamah lebih rendah.

Mengenai isu geran tanah yang tidak dapat disangkal, Arifin berkata Mahkamah Rayuan memutuskan pemberian hak milik kepada koperasi itu adalah betul dan mengikut undang-undang.

Beliau berkata penduduk sepatutnya membangkitkan isu geran di hadapan panel Mahkamah Persekutuan sebelum ini tetapi gagal berbuat demikian.

"Dengan itu, mereka tidak boleh membangkitkannya sekarang," kata Arifin.

Kampung itu terletak di kawasan seluas 2.6 hektar di tengah-tengah bahagian timur George Town yang sedang pesat membangun dan kerja perobohan telah dijadualkan semula ke 1 Sept selepas beberapa bantahan oleh penduduk berkenaan. BERNAMA

Artikel Lain