suria

Polis soal siasat pengerusi PKA

PELABUHAN KLANG: Polis telah memulakan siasatan terhadap laporan yang dibuat oleh Pengerusi Pihak Berkuasa Pelabuhan Klang (PKA) Datuk Lee Hwa Beng Selasa lepas ke atas Kuala Dimensi Sdn Bhd (KDSB) dan BTA Architect berhubung skandal projek Zon Bebas Pelabuhan Klang (PKFZ).

KDSB merupakan pemaju siap guna projek PKFZ manakala BTA Architect adalah perunding yang dilantik bagi projek tersebut. Lee berkata sepasukan anggota polis dari Jabatan Siasatan Jenayah Komersial telah datang ke pejabat PKA dan menyoalnya secara panjang lebar pada Jumaat lalu dan kelmarin.

"Polis juga menyoal beberapa petugas PKA semalam dan hari ini dan saya mengarahkan mereka supaya memberi kerjasama penuh," katanya kepada pemberita semasa waktu makan tengah hari mesyuarat lembaga PKA di sini semalam.

Selasa lepas, Lee membuat laporan polis berdasarkan penemuan pasukan petugas khas yang dibentuk untuk mengenal pasti kelemahan dalam PKFZ.

Sebelum itu, Lembaga Pengarah PKA telah memutuskan untuk membuat aduan polis terhadap KDSB atas dakwaan percanggahan bayaran bil berjumlah antara RM500 juta dan RM1 bilion.

Penyelewengan bil itu dikesan oleh satu pasukan petugas khas yang terdiri daripada peguam, akauntan, perunding dari firma profesional, yang ditubuhkan oleh Kementerian Pengangkutan kirakira dua bulan lalu berikutan laporan audit PKFZ oleh PricewaterhouseCoopers (PwC).

Sementara itu, dalam kenyataan media dalam laman web PKFZ, Lee berkata mesyuarat lembaga PKA hari ini telah membincangkan syor yang dibuat oleh pasukan petugas khas itu berhubung kemungkinan berlaku penipuan, kecuaian, penyelewengan serta gagal menguatkuasakan beberapa perjanjian.

Anggota pasukan petugas itu juga telah menjelaskan kepada ahli lembaga PKA rasional di sebalik hasil penemuan pasukan itu termasuk notis bayaran yang dipercayai palsu, tidak betul atau cacat.

"Ia juga termasuk perbuatan salahlaku oleh beberapa pihak yang membawa keburukan kepada PKA," kata Lee. Katanya ahli lembaga PKA juga besetuju mengambil tindakan susulan terhadap keputusan mesyuarat hari ini serta mendapatkan nasihat bagi beberapa isu.

Kenyataan itu menyebut dalam mesyuarat itu Lee telah memperjelaskan statusnya sebagai pengerusi, tugas dan tanggungjawabnya dan segala proses pelantikannya dijalankan secara sah. BERNAMA

Artikel Lain