suria

KDRM Johor rampas 11,990 karton rokok putih

JOHOR BAHARU: Kastam Diraja Malaysia (KDRM) berjaya menggagalkan cubaan menyeludup masuk 11,990 karton rokok putih bernilai RM215,820 yang membabitkan cukai berjumlah RM1.1 juta, di Pelabuhan Tanjung Pelepas, Sabtu lepas.

Pengarah KDRM Johor Mhd Subre Ishak berkata semua rokok itu dirampas selepas pihaknya menahan sebuah lori kontena di pelabuhan berkenaan kira-kira pukul 1.30 pagi.

"Pemeriksaan terhadap lori kontena itu membawa kepada penemuan 18 peti kayu berisi 11,990 karton rokok jenama "D&J" buatan Jerman yang sebelum itu diikrar sebagai alat ganti kenderaan ketika memasuki pelabuhan tersebut," katanya kepada pemberita, di sini, hari ini.

Mhd Subre berkata tiada sebarang tangkapan dibuat dan pihaknya percaya rokok itu adalah untuk pasaran tempatan.

Katanya kes itu disiasat mengikut Seksyen 135(1)(g) Akta Kastam 1967. BERNAMA

Artikel Lain