suria

Imigresen tumpas sindiket palsu dokumen

KUALA LUMPUR: Jabatan Imigresen berjaya membongkar kegiatan sindiket pemalsuan dokumen perjalanan antarabangsa apabila menahan dua lelaki rakyat Afrika dalam serbuan di Pandan Indah, di sini malam tadi.

Serbuan di sebuah rumah kedai pada pukul 11.45 malam itu turut menyaksikan pihak Imigresen merampas pelbagai peralatan memproses dokumen perjalanan palsu.

Ketua Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Imigresen Kuala Lumpur Abang Othman Abang Mornie berkata sindiket yang dipercayai terbesar di Lembah Klang itu telah beroperasi sejak enam bulan lepas.

"Kami terpaksa memecah masuk premis itu apabila penghuni di dalamnya enggan memberikan kerjasama," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Beliau berkata seorang daripada lelaki itu ditahan ketika bersembunyi di dalam tandas bersama cop keselamatan palsu yang turut disorok dalam tandas itu manakala seorang lagi ditahan dalam sebuah bilik yang berkunci.

"Keduadua lelaki berusia 33 dan 35 tahun itu berasal dari Ghana dan Nigeria dan tidak mempunyai dokumen perjalanan yang sah, Mereka kini direman selama 14 hari mulai hari ini," katanya.

Abang Othman berkata antara barangan yang dirampas dalam operasi oleh 15 pegawai penguatkuasa jabatan itu ialah sebuah komputer, mesin cetak, dua unit komputer riba, sejumlah cop keselamatan palsu dan lima keping pelekat keselamatan Jabatan Imegresen Malaysia palsu.

Turut dirampas ialah 12 keping muka hadapan pasport pelbagai negara dan 30 keping pasport kerakyatan pelbagai negara antaranya Kenya, Australia, Amerika, Nigeria, Ghana, Pakistan dan Iran.

Beliau berkata sindiket itu juga disyaki mengedarkan lesen senjata api palsu apabila pihaknya turut menemui tiga keping lesen senjata api itu.

"Kami akan merujuk lesenlesen senjata api ini kepada Interpol untuk siasatan lanjut manakala semua pasport yang dirampas akan dihantar ke kedutaan negara masing-masing bagi memastikan ketulenannya.

"Kami juga percaya terdapat penglibatan warga tempatan dalam sindiket ini dan masih ada saki baki kumpulan ini. Kami akan siasat dari semua sudut dan memburu mereka," katanya.

Beliau berkata hasil siasatan juga mendapati ketika serbuan, sindiket itu sedang menghasilkan pasport Malaysia palsu dengan penemuan imej pasport Malaysia di dalam komputer yang dirampas.

"Dalam komputer itu ada imej pasport Malaysia bersama gambar seorang perempuan warga asing yang beridentiti palsu. Wanita itu dipercayai berasal dari Filipina tetapi ditulis berasal dari Kepong," katanya. BERNAMA

Artikel Sebelum

Artikel Lain