suria

Tiada bahan bukti baru dalam siasatan kematian Teoh

SHAH ALAM: Mahkamah Koroner di sini, hari ini diberitahu bahawa tiada sebarang bahan bukti baru diperoleh dalam pemeriksaan forensik semalam bagi membantu siasatan kematian setiausaha politik Exco Kerajaan Selangor, Teoh Beng Hock.

Peguam Tan Hock Chuan, yang dilantik bagi pihak kerajaan Malaysia untuk membantu prosiding inkues itu, hari ini mengesahkan hasil pemeriksaan forensik semalam terhadap beberapa kesan tompokan yang disyaki darah, yang ditemui di tempat kejadian, adalah negatif.

Tan memberitahu dalam pemeriksaan oleh pakar forensik itu, hanya empat urat benang ditemui di Tingkat Lima bangunan Plaza Masalam, tempat di mana mayat Teoh ditemui.

Bagaimanapun bahan itu belum dikenal pasti.

Pada prosiding inkues semalam, Koroner Azmil Muntapha Abas membenarkan permohonan peguam keluarga Teoh, Gobind Singh Deo, untuk membawa pakarpakar forensik bagi menyiasat beberapa kesan tompokan, disyaki darah yang ditemui di tingkat 14 dan 15 pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di plaza itu.

Dalam prosiding pagi ini, Tan melaporkan kepada mahkamah bahawa pasukan forensik polis, bersama-sama pakar forensik bagi pihak keluarga Teoh dan kerajaan Selangor, telah melakukan siasatan dan pemeriksaan forensik di empat lokasi berlainan di sekitar bangunan itu.

"Lokasi pertama ialah di pejabat SPRM di tingkat 15. Pada pukul 12.25 tengah hari pasukan forensik telah melakukan pemeriksaan ke atas kesan yang disyaki darah pada dinding dan pintu pejabat SPRM di tingkat itu menggunakan 'polilight' dan hasilnya adalah negatif," katanya.

IMBASAN

Tan memberitahu, pakar forensik juga melakukan imbasan di pejabat itu dengan menggunakan 'polilight' tetapi tiada sebarang bahan bukti baru dijumpai di situ.

"Polilight" ialah alat sinaran cahaya yang digunakan pakar forensik atau saintis untuk mengesan darah, cap jari, cairan badan atau bahan bukti di tempat kejadian jenayah.

"Lokasi kedua ialah kawasan laluan tangga kecemasan di depan pejabat SPRM di tingkat 15. Pemeriksaan telah dilakukan terhadap kesan yang dikatakan darah atas lantai dan tangga naik ke tingkat 16 dengan menggunakan kaedah yang sama dan hasilnya juga negatif.

"Juruanalisis daripada Jabatan Kimia, Dr Seah Lay Hong dan Encik Sasitaran telah menjalankan ujian ke atas kesankesan tersebut dengan menggunakan kaedah 'KastleMeyer' dan hasilnya juga negatif," kata Tan lagi.

Selain itu, katanya juruanalisis itu juga memeriksa keseluruhan tangga naik ke tingkat 16 dengan menggunakan kaedah yang sama dan hasil pemeriksaan adalah negatif.

Mereka juga mendapati hasil pemeriksaan yang negatif bagi mengesan sebarang bahan bukti baru di ruangan tangga di tingkat 14, kata Tan.

"Lokasi ketiga ialah di pejabat SPRM di tingkat 14. Ada beberapa tempat yang telah diperiksa iaitu kawasan dinding yang disyaki tempat kejadian, kawasan ruang terbuka pingpong dan tempat sofa di mana saksi (Teoh) berehat.

"Pakar telah menggunakan kaedah ujian 'Hemoccult sensa' di bahagian tingkap dan hasilnya negatif, begitu juga di bahagian ruang pingpong," kata Tan.

Beliau berkata, pemeriksaan forensik semalam turut dilakukan di koridor tingkat 5 bangunan itu bagi memenuhi permintaan pihak pakar forensik daripada keluarga mendiang dan kerajaan Selangor.

"Pemeriksaan telah dijalankan pada pukul 2 petang dan hasilnya kami menemui empat helai benang," kata Tan.

Berhubung penemuan fabrik itu, Tan berkata, pihaknya tidak mempunyai sebarang bantahan jika keluarga Teoh mahu mendapatkan seluar yang dipakai mendiang, yang kini menjadi antara barang kes prosiding itu, untuk diperiksa.

"Ia (seluar) boleh diberikan kemudian," kata Tan.

JAMINAN

Peguam itu juga memberi jaminan tidak ada lagi sebarang ujian akan dilakukan terhadap kesan-kesan berkenaan, melainkan ujian lanjut terhadap gentian benang yang baru ditemui semalam.

Terhadap pernyataan Malik Imtiaz Sarwar, bagi kerajaan Selangor, yang memaklumkan mahkamah bahawa pemeriksaan forensik semalam tidak meliputi bahagian dalam pejabat SPRM di tingkat 15, Tan mengulas:

"Tiada keterangan langsung dalam siasatan ini bahawa si mati telah dibawa ke tingkat 15. Jika ada, saya percaya mereka (pihak-pihak yang berkepentingan) telah mendesak untuk melakukan pemeriksaan.

"Oleh itu bukan kita (pihak kerajaan) yang tidak membenarkan pemeriksaan dijalankan di dalam, jika ada permohonan sedemikian, silakan, kita tidak membantah," kata Tan, yang selesai membuat laporan berhubung pemeriksaan forensik semalam.

"Tidak ada sebarang elemen baru yang dibawa untuk membantu sisatan inkues ini, kecuali fiber sahaja, dan belum dapat dipastikan apakah ia.

"Oleh itu, kita tidak perlu menangguhkan lagi prosiding ini bagi mendengar keterangan saksi yang sepatutnya didengar semalam," Koroner Azmil Muntapha memutuskan.

Teoh, 30, setiausaha politik kepada Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kampung Baru dan Pengurusan Kilang Haram Selangor Ean Yong Hian Wah, ditemui mati pada 16 Julai lalu di tingkat lima Plaza Masalam di sini, selepas memberi keterangan sebagai saksi siasatan dakwaan salah guna wang peruntukan kerajaan Selangor kepada SPRM negeri yang berpejabat di plaza itu.

Prosiding inkues bagi menyiasat punca kematian Teoh diteruskan pagi ini bagi mendengar keterangan saksi pakar runding kanan perubatan Hospital Tengku Ampuan Rahimah, Klang Dr Kahirul Azman Ibrahim. BERNAMA

Artikel Berikut

Artikel Lain