suria

Suami isteri dipercayai ketua sindiket Ah Long ditahan

KUALA LUMPUR: Sepasang suami isteri yang dipercayai ketua sindiket Ah Long antara yang terbesar di bandaraya ini dan turut terlibat dalam perjudian haram ditahan dalam satu serbuan di sebuah rumah di Kepong semalam.

Pasangan itu yang berumur lingkungan 40an ditahan kira-kira pukul 8 malam di tingkat bawah rumah tiga tingkat yang terletak di Jalan Residen 2, Desa Parkcity.

Sumber polis berkata tingkat bawah rumah itu dijadikan pejabat dan dipercayai telah beroperasi sejak setahun yang lalu.

"Hasil serbuan, polis merampas dua set komputer riba, dua mesin pencetak, satu mesin faksimili, tujuh telefon bimbit, dua buku rekod pendapatan ekor haram dan tiga fail rekod peminjam Ah Long beserta gambar peminjam. Anggaran untuk judi ekor bernilai RM1.2 juta sebulan manakala pinjaman Ah Long bernilai RM1.74 juta sebulan," katanya ketika ditemui di sini.

Beliau berkata sindiket itu memperoleh pendapatan daripada hasil perjudian dan memberi pinjaman wang yang dianggarkan bernilai RM1.5 juta sebulan.

Katanya turut berada dalam rumah tersebut ialah tiga orang anak pasangan itu yang berada di tingkat atas rumah berkenaan.

Beliau berkata rumah itu disewa oleh pasangan tersebut sejak setahun yang lalu dan polis sedang menyiasat sama ada sindiket itu mempunyai jaringan dengan sindiket antarabangsa serta mengesan sakibaki kumpulan itu.

Katanya polis sukar untuk memasuki dan membuat risikan di kawasan perumahan itu kerana kawasan itu merupakan perumahan elit dan dikawal rapi. BERNAMA

Artikel Lain