suria

PAS cadang sidang khas Parlimen bincang wabak A(H1N1)

KUALA LUMPUR: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar hari ini mencadangkan agar Parlimen mengadakan satu persidangan khas bagi membincangkan wabak Influenza A(H1N1) yang disifatkannya sudah menjadi satu ancaman kepada keselamatan negara berikutan kematian 32 orang setakat ini.

Katanya, satu kertas putih mengenai pelan tindakan menangani serangan penyakit itu perlu dibentangkan di Parlimen.

Bercakap kepada pemberita di sini, Mahfuz berkata, sebuah jawatankuasa keselamatan negara hendaklah diwujudkan dengan segera agar langkahlangkah pencegahan yang lebih serius dapat diambil. Katanya pemeriksaan dan kawalan ketat perlu dilakukan terhadap pelancong asing yang masuk ke negara ini selain rakyat negara ini yang baru pulang dari luar negara, khususnya mereka yang datang dari negara yang dikenal pasti menjadi punca wabak merebak.

"Kuarantin harus diperketatkan seperti di Mexico di mana seseorang yang dijangkiti penyakit itu dikuarantinkan dengan ketat, dan mereka berjaya mengawal situasi ini daripada menjadi lebih teruk," katanya. BERNAMA

Artikel Lain